Followers

Wednesday, September 17, 2014

Kita Bukan Malaikat

Anda pernah diuji? Seringkali tewas dengan ujian tersebut?

Mustahil ada orang yang mengaku dia tidak pernah tewas dalam ujian yang Allah swt timpakan pada dirinya, lebih-lebih lagi di usia yang menginjak dewasa ini. Jangan malu untuk mengaku kerana kita bukan Malaikat yang tidak dikurniakan hawa nafsu.

Kita adalah MANUSIA. Kita dikurniakan akal, nafsu dan perasaan. Kita memiliki perasaan untuk sedih, gembira, marah, mengantuk, nak makan, nak 'buang' dan sebagainya. Inilah diri kita. Penuh dengan kekurangan dan kelemahan. Tetapi sedar tak yang kita juga merupakan makhluk yang terbaik diciptakan Allah swt? Kita dikurniakan tugas yang mana-mana makhluk pun tak berani nak ambil alih iaitu tugas sebagai seorang Khalifah Allah di muka bumi ini. Tugas yang paling berat antara semua kerjaya yang ada.

Untuk melaksanakan tugas sebagai Khalifah, ada satu sahaja perkara yang akan menghalang kita iaitu Nafsu. Allah kurniakan untuk kita hambaNya tak lain tak bukan sebagai ujian sama ada kita menjadi manusia yang berjaya mengawalnya atau menjadi manusia yang tenggelam di dalamnya.

Lately, selalu terbaca status-status daripada Tarbiah Sentap mengenai permasalahan maksiat yang sering mengganggu para remaja di luar sana. Sedih. Kita hanya mampu untuk memberikan kaedah untuk meninggalkannya tetapi tindakan itu perlu datangnya dari diri anda sendiri, malah dari diri saya sendiri juga. Apa-apa permasalahan yang berlaku bukan berpunca dari orang lain, tapi dari diri sendiri. Berhenti menyalahkan orang. Katakan "Salah saya... ini semua salah saya.."

Sehubungan dengan itu, skop maksiat bukan hanya pergaulan yang berlaku antara silang jantina, malah ia juga meliputi maksiat melalui pandangan mata, pendengaran telinga, langkahan kaki, perbuatan tangan dan banyak lagi yang anda sendiri tahu bahawa apa yang anda lakukan adalah maksiat.

Boleh dikatakan sebahagian besar atau semua lelaki diuji dengan wanita. Seperti dalam hadis Nabi saw, mafhumnya berbunyi, tidak aku tinggalkan setelahku, fitnah yang lebih berbahaya kepada lelaki melainkan fitnah wanita. Hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim ini sungguh-sungguh menakutkan. Bukan sahaja menakutkan kaum Adam, kaum Hawa juga merasainya kerana puncanya datang dari kami sendiri.

Pernah dengar mengenai kisah Harut dan Marut? Dua malaikat yang diturunkan ke bumi untuk menjadi manusia. Kalau belum pernah, jom baca. Bagi yang dah pernah, baca lagi untuk peringatan atau melakukan semakan pada cerita ini. Jika ada yang tersalah, mohon ditegur dengan berhikmah :)


Kisah Harut dan Marut


Ketika Allah swt memutuskan untuk mewujudkan satu makhluk di muka bumi yang dipanggil sebagai manusia, para malaikat saling berbisik antara satu sama lain. Ketika itu mereka bertanya kepada Allah swt, "Mengapa Engkau ingin mencipta makhluk yang akan membuat kerosakan di bumi dan saling menumpahkan darah sedangkan kami sentiasa bertasbih dan memuji Engkau?".

Allah swt berfirman, "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui."

Ketika penciptaan manusia pertama iaitu Nabi Adam as, Allah swt mengajarkannya semua nama-nama benda dan Dia menempatkannya di dalam Syurga, serta diciptakanNya Hawa sebagai isteri dan teman hidup. Hingga akhirnya Nabi Adam as bersama isterinya diturunkan ke bumi kerana telah melanggar perintahNya.

Semakin lama semakin bertambah ramai jumlah manusia yang ada di bumi sehingga bumi dipenuhi dengan dosa-dosa dan pelbagai kerosakan. Para khalifah Allah ini leka dengan pelbagai hiburan dan keseronokan dunia sehingga ada yang menyembah berhala dan menganiaya saudaranya sendiri. Para malaikat terus menjalankan tugas mereka dengan mencatat segala amal kebaikan dan keburukan yang dilakukan oleh umat manusia. Lembaran yang pada asalnya putih menjadi semakin hitam dan lebih gelap daripada malam.

Ketika itulah para malaikat bertanya kepada Allah swt, "Mereka adalah para khalifah Allah swt di muka bumi, namun mereka melakukan pelbagai kerosakan sedangkan Allah swt telah memilih mereka, bagaimana perkara ini boleh terjadi?"

Allah swt berfirman, "Seandainya Aku ciptakan kamu seperti mereka, nescaya kamu juga akan melakukan perkara yang sama."

Maka para malaikat pun berkata, "Ya Tuhan Kami, Maha Suci Engkau, tidak layak bagi kami untuk membuat derhaka kepada Engkau!"

Lalu Allah swt berfirman lagi, "Jika begitu, pilihlah dua malaikat daripada golongan kamu."

Para malaikat pun memilih Harut dan Marut yang merupakan dua malaikat yang paling baik ibadahnya terhadap Allah swt.

Lalu, Harut dan Marut diturunkan oleh Allah swt ke muka bumi sebagai manusia yang secara fitrah kejadiannya mempunyai naluri, perasaan dan kehendak nafsu. Mereka diturunkan di sebuah negeri yang dipanggil Babylon. Pada ketika itu, Babylon merupakan sebuah negeri yang dipenuhi dengan sejuta keindahan dan keseronokan dunia.

Setelah Harut dan Marut menempuh perjalanan yang jauh di padang pasir, mereka berasa sangat letih. Anggota badan mereka terasa lemah dan tidak berdaya, kepala menjadi pening dan terasa sakit yang amat dibahagian perut. Lalu salah seorang daripada mereka memberitahu bahawa ianya adalah rasa lapar yang dikurniakan ke atas setiap manusia dan tidak pernah dirasakan oleh para malaikat yang tidak pernah makan dan minum melainkan bertasbih memuji-Nya.

Dalam keadaan yang sangat lapar, Harut dan Marut singgah disebuah kedai makan yang dipenuhi pelanggan. Oleh kerana tidak mempunyai wang, mereka hanya duduk dan melihat manusia yang lain makan. Orang yang sedang makan itu terlihat akan Harut dan Marut lalu mempelawa mereka berdua untuk makan bersama. Mereka makan sehingga kenyang dan bunyi yang terhasil daripada perut akibat lapar tidak lagi kedengaran.

Tiba-tiba ada seorang wanita yang menarik perhatian dengan kecantikan dan keindahannya datang menghampiri. Dengan rambutnya yang terurai dan wajahnya yang seperti bulan di malam purnama. Sesungguhnya nama wanita cantik itu adalah Zuhroh. Harut dan Marut terpesona melihatnya. Namun tidak lama kemudian, mereka mula menyedari akan kesilapan mereka lalu beristighfar.

Akan tetapi, belum sempat perasaan menyesal itu hilang, hawa nafsu mereka kembali menguasai dan mereka pun terbuai dengan keindahan Zuhroh. Sedang pada ketika itu, suara iman berteriak kuat di dalam dada mereka. Hanya ada satu sahaja cara untuk mereka mengelaknya, Harut dan Marut kemudian meninggalkan tempat tersebut dan kembali meneruskan perjalanan. Namun setelah berjalan sedikit jauh, mereka mula merasakan keinginan yang sangat kuat untuk kembali ke tempat tersebut.



Pada malam itu, Harut dan Marut menghiasi malam mereka dengan beribadah kepada Allah swt mohon keampunan. Masing-masing khusyuk dalam solatnya sehingga yang kedengaran hanyalah desiran angin yang sangat kuat seperti suara tangisan seorang ibu yang kematian bayinya. Kedua-dua malaikat itu merasakan sesuatu perasaan yang baru yang mana biasa dirasakan oleh manusia pada ketika itu yakni perasaan takut.

Pada keesokan harinya, rasa lapar kembali menjalar. Untuk menghilangkannya, Harut dan Marut membuat keputusan untuk mencari pekerjaan di kota tersebut bagi mendapatkan wang. Dengan wang yang ada, mereka mampu membeli makanan tanpa perlu meminta sedekah. Mereka serahkan segala urusan kepada Allah swt. Lalu mereka sampai ke sebuah istana apabila melihat ramai orang yang sedang menuju ke sana.

Raja di istana tersebut mengadakan acara makan besar-besaran kepada rakyatnya. Tidak lain dan tidak bukan hanyalah semata-mata untuk menunjukkan kekayaanya kepada semua rakyatnya. Tanpa menghiraukannya, Harut dan Marut segera duduk dan makan setelah dipelawa oleh seorang lelaki. Ketika disajikan dengan minuman arak, mereka menolak untuk minum minuman tersebut. Lalu lelaki tersebut berasa sangat terkejut apabila Harut dan Marut menolaknya sedangkan mereka tinggal di sebuah negeri yang penduduknya menjadikan arak sebagai hidangan yang wajib untuk diminum.

Lelaki tersebut rupa-rupanya merupakan seorang raja di negeri itu. Raja tersebut lalu mengutarakan pertanyaan kepada Harut dan Marut mengenai sebidang tanah milik rakyatnya. Raja tersebut ingin merampas tanah tersebut dengan zalimnya dan dia bertanya sama ada perbuatannya itu benar atau salah. Lalu Harut dan Marut menjawab dengan adil bahawa perkara yang dilakukan oleh Raja tersebut adalah salah kerana dia telah mengambil hak orang lain secara aniaya. Semua yang ada di situ terkejut mendengarnya. Mereka menyangkakan bahawa Harut dan Marut akan bersetuju dengan Raja tersebut sekalipun perbuatannya salah. Tidak terlintas dalam pemikiran seorang pun bahawa mereka berdua adalah malaikat yang hanya mengetahui tentang keadilan.

Kemudian sang raja bersuara dengan lantang, "Mulai saat ini, aku lantik kalian berdua sebagai hakim di Babylon."

Demikianlah Allah swt menetapkannya setelah mereka bertawakkal dalam urusan mereka.

Harut dan Marut bersyukur kepada Allah swt namun kejernihan dan kehusyukan mereka ketika beribadah menjadi semakin pudar. Inilah kehidupan manusia yang lemah, mudah tenggelam dengan kesenangan dunia.

Pada suatu hari, ketika Harut dan Marut menjalankan tugas mereka sebagai hakim yang adil, datang seorang wanita cantik yang pernah mereka temui sebelumnya, Zuhroh. Zuhroh meluahkan segala permasalahannya kepada hakim tersebut namun apa yang diperkatakannya langsung tidak didengari oleh Harut dan Marut. Mereka berdua hanyut dengan kecantikan yang dimiliki Zuhroh, hati mereka berdegup kencang dan darah mereka mengalir dengan lajunya. Masing-masing berasa hairan dengan apa yang sedang mereka alami.

Sesungguhnya hati manusia itu sungguh menakjubkan, kadangkala dihinggapi rasa takut, kadangkala jatuh cinta, kadangkala dibakar rasa benci dan kadangkala dibuai oleh angan-angan. Sesungguhnya ciptaan Allah swt itu sangat indah dan menakjubkan.

Kedua-duanya terpegun menatapi kecantikan dan keindahan wajahnya. Setiap kali mereka ingin menahan pandangannya, setiap kali itu juga mereka merasakan ada sesuatu kekuatan yang mendorong mereka untuk terus memandangnya dan memandangnya lagi. Nyala bara api cinta pada kedua-duanya kian membara. Saat Zuhroh selesai menceritakan permasalahannya dan meminta penyelesaian daripada kedua-dua hakim tersebut, mereka meminta agar kes tersebut ditangguh pada keesokannya oleh sebab terlalu rumit.

Ketika wanita itu telah pergi, kedua-duanya menyesal. Marut berkata, "Mengapa kamu menangguhkan kesnya pada hari esok?"

"Aku tak tahu, itu diluar kemampuanku wahai temanku."

"Aku takut masuk neraka gara-gara wanita ini, marilah kita bertaubat kepada Allah swt."

Keesokan harinya, Zuhroh kembali bertemu Harut dan Marut. Kali ini mereka berdua berjanji untuk tidak memandang wajah Zuhroh. Bahkan berjanji untuk memadam gejolak hasrat yang ada di dalam diri mereka.

Namun kedua-duanya lupa akan taubat dan janji mereka sebaik sahaja Zuhroh masuk dan melemparkan sebuah senyuman yang cukup indah. Mereka berbual dengannya lalu memberikan keputusan yang berpihak kepada Zuhroh secara tidak adil. Pada malam tersebut, Harut dan Marut tertidur tanpa melaksanakan solat dan bertaubat kepada Allah swt.

Keesokan harinya, mereka bangun bertemu Zuhroh. Zuhroh menghidangkan arak kepada Harut dan Marut namun mereka tidak meminumnya dan menolak pelawaan itu. Zuhroh berasa marah dan memaksa agar mereka meminumnya. Akhirnya, mereka berdua meminumnya dan minda mereka mula menjadi bawah sedar. Sedang mereka sedang berseronok dengan Zuhroh, datang seseorang menyaksikan kejadian tersebut.

Kerana bimbang kejadian tersebut tersebar di khalayak umum, Harut dan Marut yang sedang di bawah pengaruh arak telah membunuh orang tersebut. Setelah hilangnya pengaruh arak, Harut dan Marut berasa sangat menyesal dan ingin pulang ke syurga. Namun kerana beratnya dosa-dosa yang dipikul, mana mungkin mereka pulang ke sana.

Lalu terdengar satu suara dari langit, "Kamu memilih siksa di dunia atau siksa di akhirat?"

Harut dan Marut memilih untuk disiksa di dunia berbanding siksa di akhirat yang kekal abadi.

***


Hurm, banyakkan pengajaran yang kita boleh ambil daripada kisah Harut dan Marut ni? Jom lazimi solat sunat taubat sebelum kita tidur :) Memang kita manusia lemah, tapi kita boleh jadi kuat dengan adanya Allah swt di sisi. Jangan mudah putus asa dengan desakan nafsu yang datang.

Kadang-kadang, bila kita nak buat perkara yang Allah swt murka, pernah tak kita rasa susah dan ada 'something' dalam hati ni yang kata jangan buat, jangan buat, jangan buat. Itulah suara iman kita :') Sebenarnya Allah swt selalu jaga kita, selalu sayang kat kita, selalu nak kita dekat dengan Dia supaya kita selalu rasa selamat. Tapi kita ja yang selalu rasa nak cuba, nak buat, nak nak nak sebab kita lupa Allah swt Yang Maha Melihat. Kita lupa adanya malaikat di kiri dan kanan kita yang tak berhenti mencatat. Nanges.


"Dan jika syaitan datang menggodamu, maka berlindunglah kepada Allah. Sungguh Dia Maha Mendengar dan Maha Mengetahui."
(Al-A'raf: 200)


Fatin Farhana
Ampang, Kuala Lumpur