Followers

Saturday, February 20, 2016

Seminar Sebelum Aku Bernikah (2)

Assalamu'alaikum wbt. Terima kasih masih sudi menjenguk blog ini :)

Kali ini perkongsian daripada Ustaz Azlan Shah Nabes Khan pula. Menarik sangat cara penyampaiannya yang santai dan padat. Thumbs up!


Topik: Jodoh & Lamaran

-Matlamat pernikahan adalah untuk mendapatkan ketenangan daripada pasangan hidup sepertimana dalam surah Ar-Rum ayat 21 Allah swt berfirman:

"Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir."


- Kita menginginkan mawaddah dan rahmah daripada Allah swt dalam rumahtangga yang dibina kelak.

Mawaddah: Cinta yang sangat mendalam terhadap pasangan
Rahmah: Lebih besar daripada makna mawaddah

-Apakah yang dimaksudkan dengan "In Love"?

Kata ustaz, apabila kita melihat kekurangan yang ada pada diri pasangan, kita pejamkan mata. Ketika kita mengalami kesusahan semasa berkahwin, kita mencari jalan penyelesaian kepada masalah tersebut. Semakin tua pasangan dan diri kita, semakin bertambah rasa sayang. Kita menginginkan pasangan juga merasa keseronokan yang kita rasakan.

- Ustaz juga menyarankan kita untuk membaca kisah cinta dalam kalangan Nabi saw dan para sahabat. Kisah Buya Hamka sewaktu beliau kehilangan isteri tercinta. Buku "Lapis-lapis Keberkahan" yang ditulis oleh Salman A Fillah.

- Elakkan menonton drama-drama di televisyen kerana semua itu hanya fantasi. Ada yang lebih berat dan besar perlu diambil tahu tentang pekara selepas berkahwin.

-Jodoh merupakan rezeki daripada Allah swt

-Ketika lamaran tiba lihatlah pada 6 perkara:

1) Agama- Semak mengenai solat, aqidah, puasa, sedekah, penjagaan aurat, bacaan al-Quran pada diri pasangan.

2) Rupa- Lihat pada cara ia berpakaian dan berfesyen.

3) Respect- Adakah pasangan mampu menghormati kita selepas berkahwin kelak? Isteri tidak boleh menjadi pemimpin dalam rumahtangga.

4) Akhlak- Lihat pada akhlak ia sesama manusia, binatang dan tumbuhan. Akhlak adalah berbeza dengan orang yang beragama kerana tidak semua yang beragama mempunyai akhlak yang baik.

5) Komunikasi- Adakah pasangan mampu berkomunikasi dengan baik? Boleh dibawa berbincang. Apakah topik yang dibincangkan? Adakah kita berkongsi matlamat dan cita-cita yang sama dengan pasangan? "Relationship goal".

6) Keluarga- Elakkan memulakan perkahwinan dengan merosakkan hubungan dengan mak ayah. Semak latar belakang keluarga pasangan.

Yang terakhir, untuk semua ciri-ciri yang dinyatakan di atas, yang paling penting adalah kita semak diri kita dahulu. Adakah ciri-ciri yang kita inginkan itu realistik dengan diri kita? Jangan cari pasangan yang terlalu ideal kerana setiap orang mempunyai kelemahan masing-masing.

- Kenali karakter pasangan dan jangan berharap yang kita akan mampu mengubah pasangan kita selepas berkahwin nanti.


***
 
Tambahan daripada saya, adalah lebih baik untuk kita mengenali karakter pasangan sebelum berkahwin dan mencari titik persefahaman dan kesatuan fikiran. Berkenalan berpandukan syariat, tidak melebih-lebih sehingga melalaikan dan menurut hawa nafsu. Banyakkan meminta fatwa dari hati dan jauhkan daripada perkara yang mengundang murka Allah swt. Cinta adalah fitrah dan boleh juga menjadi fitnah. Pilihlah jalan yang mengundang redha Allah swt.
 
 
Sekian, insyaAllah setakat ini sahaja yang dapat saya kongsikan bersama.
 
 
 
 
 
Fatin Farhana
Ampang, Selangor.


Tuesday, February 16, 2016

Seminar Sebelum Aku Bernikah (1)

Assalamu'alaikum wbt, Alhamdulillah beberapa hari yang lalu saya berkesempatan menghadiri sebuah seminar di UIA, Gombak. InsyaAllah saya akan kongsikan sedikit ilmu yang saya peroleh di situ dengan pembaca semua. Semoga bermanfaat.


Mengetuk Gerbang Rumahtangga - Cinta Yang Sebenar by Bro Hilal Asyraf

"Jika kita cinta, kita mesti nak bawa orang yang kita cinta ke Syurga, kalau bawa ke Neraka itu bukan cinta namanya"

- Cinta bukanlah suatu kesalahan bahkan ia adalah anugerah daripada Allah swt dan memerlukan ilmu dalam menguruskannya.

- Bagaimana cara kita bercinta dengan pasangan kita.
Adakah membawa ke syurga atau ke neraka? Tidak mesej sehingga boleh melalaikan ibadah, kerja dan aktiviti harian kita.

- Az-Zariyat :58 menceritakan tentang kita manusia ini diciptakan sebagai hamba Allah.
Maka jika berhubung dengan pasangan sehingga melalaikan kita daripada menjadi hamba Allah, itu sudah dikira sebagai satu kesalahan dan tentunya bukan membawa jalan-jalan ke syurga.

- Berkenalan atau berkomunikasi sebelum berkahwin adalah perlu dilakukan bagi mencari persefahaman dengan pasangan kita. Tetapi mestilah dipandu syariat dan bukan berlandaskan hawa nafsu semata.

- Semasa berhubung dengan pasangan, sentiasa meminta fatwa dari hati kita. Adakah yang kita lakukan ini mendapat redha Allah atau hanya mengundang murka Allah?

Sekadar tambahan daripada saya, dalam sebuah hadis sahih Rasulullah saw ada menyebut, dosa itu adalah sesuatu yang resah dalam hatimu. Maka disini, kita cuba bertanya pada diri kita, sekiranya kita rasa ragu-ragu atau was-was dengan sesuatu perkara, maka sebaiknya kita tinggalkan segera kerana boleh jadi ia merupakan satu dosa.

- Tingkatkan atau perbaiki diri untuk menjadi pemimpin kepada diri dan keluarga kita. Dalam surah Al-Baqarah ayat 30 Allah swt menyatakan tentang penciptaan Khalifah di muka bumi. Kita semua adalah Khalifah iaitu pemimpin. Pelajari apakah sifat yang perlu ada pada diri pemimpin mengikut Islam.

- At-Tahrim :6 juga Allah ada menyebut tentang memelihara diri dan ahli keluarga daripada api neraka.

- Kukuhkan yang asas di dalam diri. Sebuah bangunan yang kukuh dan cantik tidak akan dapat dibina sekiranya memiliki batu-bata yang lemah dan rapuh. Begitu juga rumahtangga yang bahagia dan indah tidak akan terbina dari diri (asas) yang  lemah. Kukuhkan dengan ilmu pengetahuan tentang agama, kewangan, kekeluargaan dan sebagainya.

Bro Hilal juga ada mencadangkan buku 'Aku Terima Nikahnya' yang ditulis oleh Ustaz Hasrizal untuk dibaca.

Gambar dari akifisakif.blogspot.com

- Apabila kita sudah tahu dan faham tentang visi dan misi rumahtangga kita, sudah tentu tindakan kita akan menjadi lebih matang dan berfikiran lebih jauh. Mula hadir rasa tanggungjawab dalam diri dan memiliki wawasan dan persediaan untuk berkahwin.

- Kita perlu menetapkan dua wawasan dalam diri; wawasan jangka pendek dan wawasan jangka panjang.
Wawasan jangka pendek: Membina rumahtangga islam
Wawasan jangka panjang: Menggapai redha Allah swt untuk ke Syurga.

- Kita mula menetapkan perancangan bila waktunya kita ingin berumahtangga? Bila waktunya kita ingin berjumpa ibu dan bapa kepada pasangan kita? dan akhirnya akan wujudlah tindakan untuk mencapai apa yang dirancangkan.

***

InsyaAllah akan bersambung di entry yang akan datang. Nantikan ya :)



Fatin Farhana,
Ampang.