Followers

Saturday, February 20, 2016

Seminar Sebelum Aku Bernikah (2)

Assalamu'alaikum wbt. Terima kasih masih sudi menjenguk blog ini :)

Kali ini perkongsian daripada Ustaz Azlan Shah Nabes Khan pula. Menarik sangat cara penyampaiannya yang santai dan padat. Thumbs up!


Topik: Jodoh & Lamaran

-Matlamat pernikahan adalah untuk mendapatkan ketenangan daripada pasangan hidup sepertimana dalam surah Ar-Rum ayat 21 Allah swt berfirman:

"Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir."


- Kita menginginkan mawaddah dan rahmah daripada Allah swt dalam rumahtangga yang dibina kelak.

Mawaddah: Cinta yang sangat mendalam terhadap pasangan
Rahmah: Lebih besar daripada makna mawaddah

-Apakah yang dimaksudkan dengan "In Love"?

Kata ustaz, apabila kita melihat kekurangan yang ada pada diri pasangan, kita pejamkan mata. Ketika kita mengalami kesusahan semasa berkahwin, kita mencari jalan penyelesaian kepada masalah tersebut. Semakin tua pasangan dan diri kita, semakin bertambah rasa sayang. Kita menginginkan pasangan juga merasa keseronokan yang kita rasakan.

- Ustaz juga menyarankan kita untuk membaca kisah cinta dalam kalangan Nabi saw dan para sahabat. Kisah Buya Hamka sewaktu beliau kehilangan isteri tercinta. Buku "Lapis-lapis Keberkahan" yang ditulis oleh Salman A Fillah.

- Elakkan menonton drama-drama di televisyen kerana semua itu hanya fantasi. Ada yang lebih berat dan besar perlu diambil tahu tentang pekara selepas berkahwin.

-Jodoh merupakan rezeki daripada Allah swt

-Ketika lamaran tiba lihatlah pada 6 perkara:

1) Agama- Semak mengenai solat, aqidah, puasa, sedekah, penjagaan aurat, bacaan al-Quran pada diri pasangan.

2) Rupa- Lihat pada cara ia berpakaian dan berfesyen.

3) Respect- Adakah pasangan mampu menghormati kita selepas berkahwin kelak? Isteri tidak boleh menjadi pemimpin dalam rumahtangga.

4) Akhlak- Lihat pada akhlak ia sesama manusia, binatang dan tumbuhan. Akhlak adalah berbeza dengan orang yang beragama kerana tidak semua yang beragama mempunyai akhlak yang baik.

5) Komunikasi- Adakah pasangan mampu berkomunikasi dengan baik? Boleh dibawa berbincang. Apakah topik yang dibincangkan? Adakah kita berkongsi matlamat dan cita-cita yang sama dengan pasangan? "Relationship goal".

6) Keluarga- Elakkan memulakan perkahwinan dengan merosakkan hubungan dengan mak ayah. Semak latar belakang keluarga pasangan.

Yang terakhir, untuk semua ciri-ciri yang dinyatakan di atas, yang paling penting adalah kita semak diri kita dahulu. Adakah ciri-ciri yang kita inginkan itu realistik dengan diri kita? Jangan cari pasangan yang terlalu ideal kerana setiap orang mempunyai kelemahan masing-masing.

- Kenali karakter pasangan dan jangan berharap yang kita akan mampu mengubah pasangan kita selepas berkahwin nanti.


***
 
Tambahan daripada saya, adalah lebih baik untuk kita mengenali karakter pasangan sebelum berkahwin dan mencari titik persefahaman dan kesatuan fikiran. Berkenalan berpandukan syariat, tidak melebih-lebih sehingga melalaikan dan menurut hawa nafsu. Banyakkan meminta fatwa dari hati dan jauhkan daripada perkara yang mengundang murka Allah swt. Cinta adalah fitrah dan boleh juga menjadi fitnah. Pilihlah jalan yang mengundang redha Allah swt.
 
 
Sekian, insyaAllah setakat ini sahaja yang dapat saya kongsikan bersama.
 
 
 
 
 
Fatin Farhana
Ampang, Selangor.


Tuesday, February 16, 2016

Seminar Sebelum Aku Bernikah (1)

Assalamu'alaikum wbt, Alhamdulillah beberapa hari yang lalu saya berkesempatan menghadiri sebuah seminar di UIA, Gombak. InsyaAllah saya akan kongsikan sedikit ilmu yang saya peroleh di situ dengan pembaca semua. Semoga bermanfaat.


Mengetuk Gerbang Rumahtangga - Cinta Yang Sebenar by Bro Hilal Asyraf

"Jika kita cinta, kita mesti nak bawa orang yang kita cinta ke Syurga, kalau bawa ke Neraka itu bukan cinta namanya"

- Cinta bukanlah suatu kesalahan bahkan ia adalah anugerah daripada Allah swt dan memerlukan ilmu dalam menguruskannya.

- Bagaimana cara kita bercinta dengan pasangan kita.
Adakah membawa ke syurga atau ke neraka? Tidak mesej sehingga boleh melalaikan ibadah, kerja dan aktiviti harian kita.

- Az-Zariyat :58 menceritakan tentang kita manusia ini diciptakan sebagai hamba Allah.
Maka jika berhubung dengan pasangan sehingga melalaikan kita daripada menjadi hamba Allah, itu sudah dikira sebagai satu kesalahan dan tentunya bukan membawa jalan-jalan ke syurga.

- Berkenalan atau berkomunikasi sebelum berkahwin adalah perlu dilakukan bagi mencari persefahaman dengan pasangan kita. Tetapi mestilah dipandu syariat dan bukan berlandaskan hawa nafsu semata.

- Semasa berhubung dengan pasangan, sentiasa meminta fatwa dari hati kita. Adakah yang kita lakukan ini mendapat redha Allah atau hanya mengundang murka Allah?

Sekadar tambahan daripada saya, dalam sebuah hadis sahih Rasulullah saw ada menyebut, dosa itu adalah sesuatu yang resah dalam hatimu. Maka disini, kita cuba bertanya pada diri kita, sekiranya kita rasa ragu-ragu atau was-was dengan sesuatu perkara, maka sebaiknya kita tinggalkan segera kerana boleh jadi ia merupakan satu dosa.

- Tingkatkan atau perbaiki diri untuk menjadi pemimpin kepada diri dan keluarga kita. Dalam surah Al-Baqarah ayat 30 Allah swt menyatakan tentang penciptaan Khalifah di muka bumi. Kita semua adalah Khalifah iaitu pemimpin. Pelajari apakah sifat yang perlu ada pada diri pemimpin mengikut Islam.

- At-Tahrim :6 juga Allah ada menyebut tentang memelihara diri dan ahli keluarga daripada api neraka.

- Kukuhkan yang asas di dalam diri. Sebuah bangunan yang kukuh dan cantik tidak akan dapat dibina sekiranya memiliki batu-bata yang lemah dan rapuh. Begitu juga rumahtangga yang bahagia dan indah tidak akan terbina dari diri (asas) yang  lemah. Kukuhkan dengan ilmu pengetahuan tentang agama, kewangan, kekeluargaan dan sebagainya.

Bro Hilal juga ada mencadangkan buku 'Aku Terima Nikahnya' yang ditulis oleh Ustaz Hasrizal untuk dibaca.

Gambar dari akifisakif.blogspot.com

- Apabila kita sudah tahu dan faham tentang visi dan misi rumahtangga kita, sudah tentu tindakan kita akan menjadi lebih matang dan berfikiran lebih jauh. Mula hadir rasa tanggungjawab dalam diri dan memiliki wawasan dan persediaan untuk berkahwin.

- Kita perlu menetapkan dua wawasan dalam diri; wawasan jangka pendek dan wawasan jangka panjang.
Wawasan jangka pendek: Membina rumahtangga islam
Wawasan jangka panjang: Menggapai redha Allah swt untuk ke Syurga.

- Kita mula menetapkan perancangan bila waktunya kita ingin berumahtangga? Bila waktunya kita ingin berjumpa ibu dan bapa kepada pasangan kita? dan akhirnya akan wujudlah tindakan untuk mencapai apa yang dirancangkan.

***

InsyaAllah akan bersambung di entry yang akan datang. Nantikan ya :)



Fatin Farhana,
Ampang.

Saturday, November 14, 2015

Helaian Baru Kehidupan (2)

Assalamu'alaikum wbt,

Alhamdulillah diizinkan Allah untuk menyambung semula entry yang lalu. Dengan sedikit masa yang tersisa ini, saya ingin berkongsi serba sedikit pengalaman semasa di semester satu yang lepas. Untuk makluman, sekarang ini saya sedang cuti pertengahan semester dan dah nak hampir tamat dah cuti. InsyaAllah besok akan pulang semula ke tempat belajar.

Semasa di semester satu, banyak kenangan manis dan pahit yang dilalui. Pada saya, suasana pembelajaran semasa di diploma sangat berbeza dengan suasana pembelajaran di universiti. Semasa di politeknik dahulu, saya mampu untuk cover topik-topik pembelajaran seorang diri dan cuma kadang-kadang sahaja akan diadakan study group.

Berbeza dengan ijazah, hampir kesemua subjek yang diambil saya perlu mengadakan study group. Belajar di universiti, kita kena banyak bertanya dan berbincang. Pembelajarn di dalam sesi kuliah sahaja masih belum mencukupi untuk mahir dalam sesuatu subjek. Mungkin di pihak saya, saya berasa agak sukar memandangkan kos yang saya ambil ini berbeza dengan kos semasa di diploma dahulu. Semuanya adalah baru and saya start from zero walaupun pernah belajar Fizik semasa di sekolah dahulu. Biasalah, belajar masa sekolah dahulu banyak main-main sebab kurang minat.

Disebabkan saya masuk lewat sedikit dari pelajar biasa, saya banyak tertinggal topik-topik awal di kelas. Separuh dari kelas saya adalah student yang masuk intake rayuan, Alhamdulillah saya tak keseorangan. Semasa di awal-awal kelas, kami kerap juga ditegur oleh lecturer kerana sebahagian kami termasuk saya agak lambat untuk adapt apa yang lecturer ajar. Mungkin lecturer kami perasan agaknya ke'blur'an muka kami semasa dalam kuliahnya. 

Actually masa lecturer tu mengajar, otak saya ligat berfikir dan cuba mengenang kembali memori-memori semasa di sekolah dahulu. Teori-teori Fizik dan AddMaths yang agak memeningkan kepala cuba untuk diperah dan diingatkan kembali. Allah sahaja yang tahu betapa peningnya kepala saya setiap kali tamat sesi kuliah. Al-maklum lah silap diri saya juga yang tak buat revision awal-awal. Ingat tu, penting ya revise semula formula-formula sebelum masuk ke kelas. 

Pernah suatu ketika lecturer kami sarankan kami untuk ambil susu formula, minum setiap hari agar sel-sel otak kami berhubung dengan lebih cepat. Malunya rasa tapi saya ambil kata-kata tu sebagai pembakar semangat. Mungkin dah lama tak mengaktifkan otak saya untuk berfikir setelah bercuti dari belajar selama hampir 10 bulan. Bayangkan..

Dan kebanyakan test dan kuiz yang lecturer saya buat, banyak yang saya tak dapat skor dengan baik. Setiap kali tu lah saya akan rasa diri saya macam tak belajar apa-apa dan rasa sedih sangat tak dapat jawab soalan-soalan yang lecturer berikan. Balik ja dari kuliah, saya akan menangis minta ampun pada Allah, minta Allah berkat setiap ilmu yang saya belajar, beri kemudahan pada setiap kesukaran yang dialami. Saya jadi kecewa dengan diri, saya belajar tapi saya tetap tak boleh buat dan skor. 

Sehinggalah ketika saya berada di minggu-miggu terakhir kuliah, saya masih merasa 'lost' dan kurang bersedia untuk menghadapi peperiksaan akhir. Ditambah pula dengan 'carry mark' yang rendah dan semangat yang semakin berkurangan. Rasa macam ada harapan untuk 'repeat paper' tapi saya cuba lawan. Saya sentiasa bisik kat hati "takpe, Allah nak tengok pada usaha, pandai atau tak pandai, semua tu kerja Allah, insyaAllah bila dah usaha sehabis baik, apa pun keputusan nanti tentu boleh redha.."

Setiap hari saya mulakan dengan semangat baru, saya bangun dan belajar disamping ibadah harian dijaga dan ditingkatkan, doa tak putus-putus minta Allah berkatkan ilmu yang saya dapat. Bukan mudah Allah nak berikan sesuatu yang berharga untuk kita melainkan dengan merasa susah sedikit agar kita tahu erti sebuah penghargaan. 

Alhamdulillah Allah hantar seorang sahabat yang sentiasa bagi dorongan dan semangat agar saya tidak putus asa dan dia selalu kata peluang sentiasa ada untuk saya. Alhamdulillah dia juga yang beri tunjuk ajar dan sudi luangkan masa untuk mengajar saya walaupun saya tahu dia juga sibuk dengan paper dia memandangkan dia juga student Fizik cuma berlainan semester. Alhamdulillah Allah temukan kami dalam usrah yang saya sertai. Alhamdulillah..

Jujur saya katakan bidang Fizik bukanlah bidang yang mudah apabila memerlukan kita untuk sentiasa berfikir di luar kotak dan banyak berimaginasi. Kata lecturer Fizik saya, student Fizik adakalanya perlu untuk bersikap 'gila-gila' bagi menghilangkan sedikit tekanan semasa belajar agar tidak menjadi betu-betul gila di kemudian hari. Mungkin ada benarnya juga kan apabila ada scientist yang mengatakan dunia ini terjadi dengan sendirinya. Sedangkan apa yang kita imani, Allah adalah pencipta bagi setiap kejadian.

Semakin saya belajar Fizik semakin datang minat saya terhadap subjek ini apabila banyak mengaitkan dengan al-Quran. Kata ustaz saya, "kamu yang belajar sains ni, perlu menjadi lebih dekat dengan Allah, jangan asingkan agama dan sains, tapi kaitkan sains dengan agama". Sejak tu, saya jadi lebih semangat untuk teruskan belajar. Belajar kerana Allah, kerana ilmu bukan kerana benda lain.

Alhamdulillah semester satu saya tamat dengan jayanya. Saya lulus dalam semua subjek walaupun tak cemerlang tapi saya dah cukup bersyukur. Ditakdirkan Allah, hanya 5 orang sahaja pelajar yang lulus dalam semua subjek dan saya terpilih oleh Allah untuk termasuk dalam senarai tu. Saya tak percaya dan tak sangka tapi itu lah ketentuan Allah, kita jangan putus asa dan keep on trying our best effort. Saya belajar banyak perkara semasa di semester satu dan saya syukur Allah berikan saya ujian-ujian tersebut. Ingat yang Allah tak pernah jauh dari kita tapi sebenarnya kita lah yang selalu nak menjauh dari Allah. 

Okay lah, sampai sini sahaja cerita saya untuk semester satu. Doakan saya dapat melayari semester dua ini dengan lebih tabah dan bersemangat serta dikelilingi sahabat-sahabat yang supportive. Tak lupa juga untuk selalu minta doa daripada mak ayah kita agar dipermudahkan kita untuk belajar. Doa mak ayah adalah doa yang paling berharga bagi seorang anak dan saya yakin siapa saya sekarang ni dan apa yang saya kecapi ini juga adalah hasil doa dari mak ayah saya yang tak putus-putus. 

Maafkan saya jika ada tersilap bicara. Sekian.




Fatin Farhana
Ampang, Kuala Lumpur