Followers

Showing posts with label Cerpen dan Cerita. Show all posts
Showing posts with label Cerpen dan Cerita. Show all posts

Thursday, February 21, 2013

Tirai Pertemuan (1)



“Hisyam..!” 

Suara Nisa kedengaran di tengah hiruk-pikuk manusia yang sedang sibuk menguruskan hal masing-masing. Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, tidak pernah sunyi dengan kehadiran manusia. Barangkali, kali ini lebih padat kehadirannya. Nisa menoleh ke kiri dan ke kanan. Wajah comel itu hilang dari pandangannya dalam sekelip mata. 

“Ish, mana Hisyam ni. Tadi ada ja kat sebelah aku”. Nisa berjalan mengelilingi kedai buku di situ. Tiba-tiba lengannya terlanggar beberapa buah buku yang disusun tinggi di tepi sudut kedai. “Allahu Akbar! Alamak, tak sengaja”.  Nisa pantas merendahkan posisi badannya bagi memudahkannya untuk mengangkat semula buku-buku tersebut. 



Ketika Nisa sedang sibuk mengangkat buku-buku yang jatuh itu, ada satu tangan datang menghulurkan bantuan tanpa dipinta. Pemuda tersebut tekun mengangkat buku-buku tersebut sambil matanya tetap memandang ke arah lantai.


      


“Eh, kenapa aku macam pernah nampak je muka dia ni?.” Nisa bermonolog dalam hatinya. Dia seakan pernah melihat wajah itu suatu ketika dahulu. Berkopiah putih dan bercermin mata. 

Tiba-tiba bibirnya meluncur laju menyebut....“Khairul!”.

Pemuda bercermin mata itu lantas mengangkat pandangannya akibat terkejut apabila namanya disebut. “Err, enti ni siapa ya? Kita pernah berjumpa ke sebelum ni?” Tanya pemuda tersebut. Nisa memarahi dirinya kerana tersasul sebegitu rupa. Dia dapat merasakan darah malunya memecut laju naik ke pipinya. “Err, maaf. Enta ni Khairul kan? Dari sekolah SMA Persekutuan, 3 tahun yang lepas?” Tanya Nisa kembali untuk mendapatkan kepastian.            

“Na’am. Nama ana Khairul. Bekas pelajar SMA Persekutuan, 3 tahun yang lepas. Tapi, enti ni siapa?” balas Khairul. Dia sukar mengecam gadis dihadapannya itu. Wajahnya terlindung di sebalik purdah coklat yang dipakainya. Agak sukar bagi Khairul untuk mengingati wajah akhowat-akhowat di zaman sekolahnya dahulu. Dahulu, dia seorang yang sangat pemalu, memandang wajah akhowat sahaja boleh mendatangkan debar di dadanya. Kini, perasaan malu itu dapat diselaraskan sebaik mungkin. Setelah 2 tahun memasuki alam universiti, dia semakin bijak mengawal perasaanya ketika bertemu dengan para muslimat di kampusnya.
 

Nabi Muhammad saw juga bersabda: 

“Pandangan adalah panahan beracun daripada panahan iblis. 
Sesiapa yang menundukkan pandangannya daripada kecantikan wanita maka Allah mewariskan di hatinya kemanisan yang dimilikinya hingga hari bertemu denganNya.”            



Sambil tersenyum Nisa menjawab pertanyaan Khairul, “Nama ana Nisa. Khairun Nisa, pelajar yang berpindah masuk ke kelas enta semasa di Tingkatan 5”. Khairul dengan riak wajah yang terkejut terus teringat akan nama tersebut , “Allahu Akbar! Nisa. Insha-Allah ana masih ingat.” 

Mana mungkin dia melupakan satu nama yang pernah membuatkan dia hampir bergaduh besar dengan sahabat karibnya, Naim. Khairul terus membetulkan posisi badannya begitu juga Nisa setelah mereka berdua selesai mengangkat dan menyusun buku-buku tersebut kembali ke tempatnya yang asal.           

“Ya Allah! Hisyam! Eh, Khairul. Ana minta diri dulu ya. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh”. Nisa lantas berpaling dan berlalu pergi mencari Hisyam yang hilang sebentar tadi. Khairul hanya memandang Nisa sambil mengerutkan dahinya melihat Nisa yang hanya berlalu pergi dan tenggelam dalam kesesakan manusia di situ. “Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh, ma’as salamah. Tak sangka aku dapat jumpa Nisa kat sini, Maha Suci Allah atas segala ketentuan-Nya”. Bisik hati kecil Khairul sambil membetulkan kedudukan beg galas di bahu kanannya.            

Dari jauh kelihatan dua wajah tua yang kian di mamah usia. Nisa berjalan pantas mendapatkan Papa dan Mamanya. “Mama, Papa. Ada nampak Hisyam tak? Nisa terlepas pandang tadi masa tengah belek-belek buku”, tanya Nisa dengan nafas yang turun naik akibat teralu cemas. Wajah Nisa yang cemas dan termengah-mengah sehingga kelihatan tompok peluh di dahinya menimbulkan rasa pelik di wajah kedua-dua orang tuanya. Mama dan Papa saling berpandangan sambil mengerutkan dahi mereka. Papa lantas menjawab sambil mengarahkan jari telunjuknya kearah satu tempat, “Tu…ada dekat kakak kamu”. Nisa memalingkan wajahnya memandang kearah yang dimaksudkan.

Kelihatan Hisyam sedang sibuk bermain dengan adik kembarnya, Hasyim.  Hisyam dan Hasyim yang baru berusia 4 tahun merupakan anak buahnya yang sangat ceria dan aktif. Sentiasa mengembirakan hati orang sekeliling yang mendekatinya. “La, Subhanallah budak kecik ni..”, Nisa menghelakan nafasnya. Walaupun rasa risaunya masih belum hilang, namun dia bersyukur ke hadrat Ilahi kerana tidak berlaku perkara yang tidak diingininya. Bimbang juga jika anak buahnya itu hilang di celahan orang ramai yang ada di situ.

“Ok lah Papa, Mama. Nisa nak bergerak ke Balai Pelepasan dah ni”, sambil melirik jam tangan di tangan kanannya. Jam sudah pun menunjukkan pukul  9.15 malam. Penerbangannya dijadualkan akan berlepas pada jam 10 malam. Nisa mengambil beg galasnya dan beberapa buah beg yang lain untuk dibawa ke tempat penyimpanan barang. Ahli keluarganya yang lain juga turut sama membantu.

Di sudut yang lain, Khairul dan Naim sedang bersalam-salaman bersama ahli keluarga masing-masing. Suasana di Balai Pelepasan itu seakan hiba seketika. Ramai yang menitiskan air mata terutama golongan ibu yang berjiwa lembut. Sukar untuk melepaskan anak-anak pergi merantau ke negara orang, pelbagai kebimbangan datang menerjah. Tetapi, apabila keyakinan telah dipasakkan kepada Allah swt, segalanya menjadi mungkin.

Khairul dan Naim memeluk erat kedua orang tua mereka. Pelbagai nasihat disampaikan dengan harapan yang mereka berdua menjadi insan yang berguna untuk agama dan kehidupan setelah pulang ke Malaysia kelak. Bahkan, pulangnya nanti sebagai hamba Allah swt yang tidak megah dengan ilmu yang dimiliki. Khairul dan Naim juga turut menitiskan air mata kerana tidak dapat menahan sebak di hati tetapi pantas menyekanya kembali. Akhirnya, mereka berdua bergerak ke Balai Pelepasan, KLIA untuk meneruskan perjalanan.



Bersambung..


p/s: sambungan cerpen couple islamik



Fatin Farhana Bt Muntasir
Wangsa Maju, Kuala Lumpur


Thursday, February 14, 2013

Penantian Kebebasan


            Nurul Izzah Bt Ahmad. Sebuah nama yang sangat indah untuk disebut, Cahaya Ketinggian. Izzah dilahirkan dalam sebuah keluarga golongan sederhana. Membesar dalam sebuah Kota Metropolitan yang penuh cabaran. Kini usianya genap 20 tahun.

            Sedari kecil, Izzah mempunyai keinginan yang sangat tinggi. Seorang gadis kecil yang mempunyai keberanian yang luar biasa. Meskipun mempunyai ibu bapa yang tidak sefikrah dengannya, namun dirinya masih mampu bertahan.

            “Mama, kenapa kakak tak boleh pergi besok?” Izzah bertanya kepada mamanya.

            “Mama kata tak boleh, tak boleh la. Mama tak nak kamu bergaul dengan kakak-kakak tudung labuh tu” Mama berpaling menuju ke dapur.

            “Tapi mama, Izzah bukannya pergi ke program yang tak elok. Izzah pergi program-program ilmu. Izzah suka program-program yang macam ni” Izzah tak mahu mengalah.

“Mama tak nak anak Mama terlibat dalam program-program politik, politik semuanya tak bagus. Full stop!”  Izzah tidak mampu untuk meneruskan kata-katanya lagi.

              Mamanya tahu anaknya pasti akan pergi ke program yang baik dan bermanfaat. Tetapi satu sahaja yang tidak berkenan dihatinya, semua program yang anaknya mahu ikuti, adalah program-program anjuran Parti Pembangkang. Dia seakan allergic apabila mendengar nama parti itu disebut-sebut. Entah kenapa, dalam hatinya sentiasa merasakan pimpinan kerajaan adalah yang terbaik. Sejak kecil, arwah ayahnya cukup aktif dalam mesyuarat dan program-program kerajaan.

            Izzah duduk termangu di atas katil. Sudah hampir 2 jam dia berkurung di dalam biliknya. Air matanya tidak mampu ditahan lagi. Hatinya merintih sendirian.

            “Mama, kenapa Mama cukup tak suka Izzah berkawan dengan kakak-kakak tu? Kakak-kakak tu semuanya baik-baik, diorang banyak bantu Izzah. Banyak buat Izzah sedar yang hidup ini bukan untuk disia-siakan. Mereka menampal luka-luka di hati Izzah, Mama. Izzah pernah terluka kerana seorang kawan, kawan yang selama ini Izzah percaya. Tetapi dia menikam hebat jantung Izzah. Biarlah pengalaman pahit ini Izzah telan sendiri. Izzah bahagia Allah hadirkan kakak-kakak yang hebat ini. Allah tarik seorang, Allah jua yang menggantikannya semula, malah lebih baik dan lebih ramai. Allah Maha Baik. Izzah tak pernah jadikan Allah sebagai dairy harian Izzah sebelum ni, tapi lepas Izzah kenal Allah, Izzah tak pernah rasa diri ini sunyi walaupun Izzah duduk sendirian. Sebab Izzah ada Allah di sisi. Allah sahaja sumber kekuatan Izzah saat ini ”.

            Seminggu kemudian, Izzah mendapat panggilan telefon daripada teman sekolahnya. Seperti biasa, mereka akan mengajak Izzah untuk keluar bergembira. Kali ini, destinasinya adalah di Times Square, Kuala Lumpur. Tempat anak muda berkumpul dan membeli-belah. Izzah tidak pernah menghadapi halangan daripada kedua ibu bapanya untuk keluar bersama teman-teman sebayanya. Ibu bapanya tanpa banyak kata tentu sahaja memberikan keizinan apabila dipinta.

            Walaupun keluar bergembira bersama teman-teman lama, tetapi hatinya tidak pernah merasakan ‘gembira’ itu secara total. Berbeza dengan program-program ilmu, meskipun kurang mendapat sambutan dan tidak meriah, tetapi hatinya tetap merasakan kegembiraan dan kebahagiaan yang luar biasa. Mungkin naungan para malaikat Allah yang sentiasa melebarkan sayap-sayapnya di majlis-majlis ilmu, memberikan keindahan yang nyata mengembirakan setiap hati yang mendambakan pengisian.

            Mama dan papa, Izzah sukar memahami dua insan hebat ini. Mereka ibu dan ayah yang sangat baik, sentiasa berusaha untuk memenuhi keperluan anak-anak mereka. Tetapi mereka kurang memahami kehendak yang Izzah mahukan.

            “Mama, jika kerajaan adalah pimpinan yang terbaik. Mustahil mereka menganjurkan program-program yang melalaikan anak muda. Terlalu banyak. Jika mereka menganjurkan program-program yang bermanfaat, Izzah bersyukur tetapi Izzah akan tetap menolak mereka. Mana mungkin program maksiat yang mereka anjurkan selama ini boleh ditutup dengan program ilmu yang hanya sedikit cuma. Belum ditambah lagi dengan program-program realiti yang kian membarah anak muda di zaman ini, semuanya menyesakkan dada dan merosakkan pandangan mata. Izzah mahukan perubahan, bukan sahaja untuk diri malah untuk generasi yang akan datang”. Izzah bermonolog sendirian. Itu sahaja yang mampu dilakukannya.

Suatu ketika dahulu, Izzah pernah hampir berperang lidah dengan abang kandungnya sendiri. Antara keluar malam berjumpa dengan kawan-kawan which is kita panggil ‘melepak’ atau keluar mendengar ceramah agama yang comfirm habisnya sekitar jam 12 malam. Amran, abang kandung Izzah tetap tidak mahu mengalah. Terus menerus mempertahankan hujahnya dengan alasan dia merupakan seorang lelaki normal yang pulang lewat malam ke rumah berbanding diri Izzah yang merupakan seorang anak gadis yang kurang sopan jika pulang lewat malam.

“Abang tau lah program yang Izzah nak pergi ni semuanya bagus-bagus, tapi Izzah kene faham nanti apa orang akan kata kalau Izzah balik lewat malam”. Amran membidas.

“Tapi abang, mana lagi better, hang out dengan kawan atau duduk dalam majlis ilmu sampai lewat malam?” Izzah membalas.

“Izzah, kan abang kata. Kamu tu perempuan, abang ni lelaki! Susah sangat ke nak faham? Kamu tu baru ja nak masuk umur 19 tahun. Abang ni dah 23 tahun! Kamu belum layak lagi nak terlibat dengan program-program politik macam ni, sekarang ni kamu fokus belajar sahaja. Dah, tak payah nak melawan sangat! ” marah Amran. Wajahnya bengis.

Izzah terus menundukkan kepalanya dan menahan sendu di hatinya. Terasa bagai hendak luruh jantungnya mendengar nada suara Amran yang sedikit tinggi dan keras. Dia terus bangun dan berlari menaiki anak tangga di hujung sudut rumah. Izzah seorang gadis yang lemah di sebalik keberanian yang ada. Dia tidak mampu menerima kerasnya suara manusia apabila bercakap di hadapan dirinya. Telinganya bagai tidak mampu menerima lantas air mata jernih mencurah jatuh membasahi pipinya.

Saat ini, tiada siapa yang mampu membela dirinya. Papa dan Mama juga seakan tidak mahu ikut campur perbincangan mereka sebentar tadi. Mereka hanya mendengar dan memerhati dari sisi rumah. Alangkah sedihnya hati.

Izzah benar-benar rasa dirinya sendirian di dalam rumahnya. Memilik keluarga yang lengkap dengan ibu dan ayah, abang dan kakak juga seorang adik. Tetapi masih tidak mampu memberi kesempurnaan. Ya, manusia memang tidak mampu menjadi sempurna tetapi manusia boleh berusaha untuk menjadi sempurna.

Di dalam sudut hati yang paling dalam, Izzah teringin menjadi seorang muslimah yang aktif dalam berprogram. Mana-mana program yang dianjurkan, Izzah mahu ikut serta membanting tulang dalam menjayakannya. Jikalau boleh, dia ingin menginfakkan seluruh keringatnya di jalan Allah. Izzah tidak suka rasa kekosongan di rumah. Tiada suasana ilmu, yang ada hanya gelak tawa apabila menonton rancangan Maharaja Lawak dan yang sewaktu dengannya. Bukan tidak boleh, tapi biarlah berpada-pada.

Satu lagi keinginan Izzah disekat. Usrah. Usrah dalam erti kata bahasa Arab disebut sebagai ‘keluarga’. Ya. Kali ini, papa Izzah ikut campur.

“Papa, boleh tak kalau Izzah nak join usrah?” Izzah memberanikan diri untuk bertanya.

“Kat mana tu? Bila?” Jawab Papa ringkas tapi nampak positif.

“Kat Taman Permai, yang rumah dekat dengan kawan baik Izzah tu, Isma namanya. Jam 9.30 malam sampai jam 11 malam, insha Allah”. Izzah menjawab dengan penuh semangat.

“Ermm… tak payah la Izzah. Duduk kat rumah ja. Ok.” Papa berseloroh.

“Kenapa tak boleh pula Papa? Kan program tu bagus. Papa tau kan usrah tu macam mana? Dia semak kita punya bacaan al-Quran, tajwid kita betul ke tak, sharing masalah kemudian cari penyelesaian. Yang paling seronok sekali ada slot tazkirah, setiap orang akan bagi tazkirah secara bergilir-gilir”. Balas Izzah dengan penuh pengharapan dari papanya.

“Hmm, yeke. Tapi Papa tak suka lah anak perempuan Papa ni balik lewat-lewat malam. Tak payah lah ya.” Jawab Papa sedikit tegas.

Sekali lagi atas alasan yang sama. Anak perempuan dilarang pulang lewat ke rumah. Izzah kecewa. Dia tidak berani membidas kata-kata ayahnya yang sangat dia hormati. Sekali jawapanya tidak, akan tetap tidak selamanya. Itulah Papa. Tetapi, Papa tetap seorang yang baik hati dan penyayang.

Terkadang, Izzah bimbang andai suatu hari nanti dia menjadi seorang remaja yang sentiasa memberontak apabila segala kemahuannya tidak dituruti. Itulah yang sering terjadi apabila kemahuan remaja disekat oleh ibu bapa sendiri. Ada yang lari daripada rumah, pukul sana, pukul sini, conteng sana, conteng sini, rosakkan itu ,rosakkan ini dan macam-macam lagi. Allahu Akbar. Semoga Allah Yang Maha Hebat akan terus menjaga Izzah daripada melakukan perkara-perkara yang tidak sepatutnya

 “ Allah, Izzah rindu sangat kat Allah. Allah, tinggikan lagi tahap kesabaran Izzah ya? InshaAllah, Izzah boleh bertahan. Izzah tahu semua ni mesti ada hikmah. Dan Allah tahu apa yang terbaik untuk diri Izzah kan? Izzah tak mahu jadi anak derhaka, suka lawan kata mama dan papa. Tapi terkadang Izzah terbuat juga, Allah. Izzah minta maaf sangat-sangat. Berilah Izzah kekuatan untuk hadapi semua ni. Allah jangan tinggalkan Izzah ye...isk..isk..sik..“

Malam yang sunyi dihiasi dengan tangisan Izzah kepada Sang Pencipta. Izzah mengadu sepuas-puasnya pada Allah swt. Allah lah segala-galanya. Dalam sudut hati yang paling dalam, terkadang Izzah rasa cemburu melihat sahabat-sahabat yang membesar dalam sebuah keluarga Jemaah. Bersama-sama memikul amanah perjuangan Islam, bersama-sama bergerak aktif dalam apa jua program Islam. Masha Allah, semoga Allah berkati kalian. Barakallah ..

.: Fatin Farhana Bt Muntasir :.
Wangsa Maju, Kuala Lumpur

Monday, May 21, 2012

Kisah Antara Cinta & Suka


Di suatu pagi nan indah, aku bersama keluarga ku berada di sebuah IPT. Hari ini merupakan hari pertama aku menjejakkan kaki ke alam yang lebih mencabar. Aku akan mendaftarkan diri sebagai seorang mahasiswi dalam bidang kejuruteraan awam. Bidang yang agak mencabar bagi diriku. Tetapi aku tetap dengan cita-citaku untuk menjadi seorang mahasiswi yang berjaya lantas menjadi seorang jurutera bangunan, bukan sahaja bangunan konkrit, malah jurutera bagi pembangunan ummah. Ya! Itulah cita-citaku.

Dalam langkahan kaki ku yang kelihatan penuh semangat ini, tiba-tiba aku terlihat seorang muslimin. Gaya macam 'senior' sahaja. Daripada segi fizikalnya, dia kelihatan kemas dan intelektual. Lantas aku menjadi kagum melihatnya. Tanpa melengahkan masa, aku berlalu dari situ dan menuju ke kolej kediaman ku. Banyak yang perlu dikemas. Habuk dan debu masya Allah.

Setelah seminggu aku memulakan kuliah, hari-hari ku menjadi semakin mencabar. Jadual kuliah yang padat menjadikan aku mahasiswi yang sangat 'busy' dengan segala assignment daripada pensyarah-pensyarah ku.
Aku tak dapat bayangkan sekiranya aku memegang sebarang jawatan dalam sesebuah organisasi, tentu aku tidak dapat memberikan sepenuh tumpuan dalam pelajaran, malah banyak pula assignment yang akan tertangguh.



Sangkaan ku meleset sama sekali, aku akhirnya tertarik untuk menjadi salah seorang ahli dalam sebuah badan dakwah di situ. Pada mulanya, jujur aku sangat berminat dan mencari-cari badan dakwah yang ada di
IPT ini. Tetapi memandangkan jadual kuliah yang terlalu padat, aku membatalkan niatku.

Aku akhirnya memegang satu jawatan yang agak mencabar bagiku. Jawatan yang ku rasakan sangat berat untuk dilaksanakan, tetapi kerana Allah aku dipilih, aku akan laksanakannya sebaik mungkin. Aku lebih banyak berkongsi cerita dan pengalaman kepada rakan-rakan ku. Itulah caraku dalam melaksanakan tugasku.

Aku ini tidaklah sehebat mana, aku bukan seorang yang mampu berhujah dengan hadis dan al-Quran, tetapi aku cuba sabaik mungkin untuk kongsikan apa yang telah aku pelajari ketika di bangku sekolah dahulu. Ustaz & ustazah ku banyak mengajar dan membantu ku untuk lebih memahami tafsirul Quran. Terima kasih ustaz dan ustazah kerana telah mengajar aku yang sangat lemah ini. Alhamdulillah ku panjatkan segala pujian hanya untuk Dia yang teristimewa.

Di suatu petang yang mataharinya menyinar sepoi-sepoi bahasa, aku berjalan bersama kawan-kawanku menuju ke musolla. Pada setiap hari khamis, kami akan mengadakan usrah atau lebih dikenali sebagai bulatan gembira di koridor masjid. Dalam kekhusyukan mendengar tazkirah daripada naqibah ku, tiba-tiba aku terpandang akan seorang muslimin yang pernah aku lihat sebelum ini. Ya! Dialah muslimin yang aku pernah katakan kemas dan intelektual itu.

Muslimin itu sedang sibuk menolak tirai-tirai yang memisahkan antara bahagian muslimin dan muslimat memandangkan esok adalah hari Jumaat. Para jemaah lelaki akan berpusu-pusu ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat di sini. Tiba-tiba, jantungku berdegup kencang dengan tidak semena-mena. "Oh tidak, kenapa ni? Tak kanlah aku jatuh cinta pandang kedua kot? " bisik hati kecil ku.

Aku terus melarikan pandangan dan kembali memberikan tumpuan kepada naqibahku. Tetapi fikiran ku masih lagi melayang entah ke mana. Syaitan mula memainkan peranannya dengan membisikkan pelbagai bisikan agar aku memandang kembali muslimin tersebut. Dengan sekuat hati, aku menjerit di dalam hati, " Ya Allah, kuatkan aku! Aku tak nak pandang dia lagi! ".


Selang beberapa hari, seorang kakak senior datang menghampiriku. Aku memanggilnya dengan nama singkatannya, Kak Ecah. Dia seorang yang sangat cantik pada pandanganku, lemah lembut dalam tutur kata dan juga perbuatannya. Aku sangat senang bersama dengan dia. Dalam pada kami berbual, tiba-tiba Kak Ecah memberitahu ku bahawa wajah aku mirip dengan seorang muslimin di situ. Dia berkerja keras mengingati nama muslimin tersebut, dan akhirnya dia menyebut, " Ha..akak dah ingat! Nama dia Farhan ". Aku hanya tersenyum memandangnya.

Jujur aku tidak mengenali nama muslimin yang disebutkannya. Aku mula membayangkan alangkah indahnya jika muslimin itu adalah muslimin yang aku lihat tempoh hari. Macam kisah yang selalu aku baca dalam novel dan artikel.  "Astaghfirullah al azim.." Aku tersentak dari lamunan ku. Nah! Inilah bahana terlalu banyak membaca kisah cinta "islamik". Bukan tidak boleh, tetapi jangan sampai melalaikan diri sendiri seperti apa yang sudah aku lakukan tadi.

Sejak kejadian tempoh hari, aku semakin kerap pula terserempak dengan muslimin tersebut. Boleh dikatakan setiap pagi sebelum ke dewan kuliah, aku pasti akan terlihat dia yang turut sama berjalan untuk ke kuliah pada pagi itu. Aku semakin bingung, bila sahaja terlihat dia, jantungku menjadi-jadi pula debarannya. Aku tidak selesa dengan keadaan ini. Aku tidak selesa dengan perasaan ini.

Aku menjadi semakin suka pada muslimin tersebut apabila kawan-kawanku sering meng'gosip'kan aku dengan muslimin tersebut. Mereka sering memberitahuku yang muslimin tersebut seorang yang sangat pandai dalam pelajarannya, sangat pemalu dan rajin orangya. Dan yang lebih menambahkan perisa kesukaan aku terhadapnya, apabila muslimin itulah yang pernah Kak Ecah beritahuku tempoh hari. Ya, dialah Farhan yang memiliki wajah semirip denganku. Tapi bagiku, wajahnya jauh berbeza dari wajahku.


Aku mula memikirkannya secara serius, antara cinta dan suka, yang mana satu lebih dekat denganku. Secara peribadinya, bagiku cinta dan rasa suka itu ada beza antara keduanya. Cinta padaku satu rasa yang mampu membuatkan diri dibuai pelbagai angan-angan, bak kata orang, tidur tak lena, mandi tak basah. Asyik memikirkan si dia di kala melakukan apa jua aktiviti. Bila terdengar lagu cinta, fikiran pantas teringatkan si dia. Apa pun hanyalah si dia sehingga tidak nampak sekelumit keburukan pun padanya.

Mungkin aku hanya suka pada Farhan. Ya, aku pasti itu! Aku suka akan akhlak dan peribadinya yang sederhana. Aku suka apabila dia pandai menjaga pandangannya. Berjalan tunduk dan tidak banyak berbicara. Bukan hanya dia seorang, malah mana-mana muslimin yang mempunyai akhlak serupa dia juga turut aku suka. Alhamdulillah mujur hanya suka, aku bimbang perasaan ku berubah sampai ke tahap cinta.

Setelah beberapa hari aku memuhasabah diriku, aku kembali 'normal' seperti sedia kala. Aku tidak lagi merasa jantungku berdegup kencang apabila bertemu dengannya. Aku selalu berdoa agar Allah sentiasa menjaga hatiku dan aku belajar untuk lebih menjaga pandanganku. Semuanya bermula dengan pandangan.
Tidak aku nafikan, perasaan berdebar itu sentiasa hadir apabila aku bertemu dengan mana-mana muslimin. Jauh sekali untuk aku katakan yang aku jatuh cinta pada semua muslimin yang ada di situ.

Hari-hari ku berlalu dengan lebih tenang dan bahagia. Aku semakin bijak membahagikan masaku untuk menelaah pelajaran dan bergerak aktif dalam organisasi ku. Malah, aku masih punya waktu untuk bersukan di waktu petang. Apabila aku keletihan menjalani aktiviti seharian, aku selalu ingat akan pesanan Dia yang teristimewa di hati, " apabila kita membantu agama Allah, Allah pasti akan membantu kita kembali ".


Cintaku hanya untuk Allah dan Rasul Nya. Biarpun aku seorang yang mudah suka pada seseorang tetapi aku tidak mudah untuk jatuh cinta pada seseorang dan perkara itu sangat sukar bagiku. Moga Allah sudi memelihara cintaku ini. Aminn..

***


: cerpen ini tidak berkait dengan mana-mana insan termasuk penulis.
: perkara yang nak ditekankan ialah perbezaan antara cinta dan sukamaka terhasillah kisah di atas ini :)


.: Fatin Farhana :.
Ampang, Kuala Lumpur

Friday, November 26, 2010

"COUPLE ISLAMIK REMAJA"




Naim pelajar tingkatan 5 di sebuah Sekolah Menengah Agama Persekutuan. Dia seorang yang tinggi ilmu agama dan mempunyai politik yang agak stabil di sekolah apatah lagi dengan thiqahnya yang tinggi. Apabila ustaz tiada di antara Magrib dan Isyak, dia akan ke hadapan. Sama ada memberi tazkirah atau mengepalai bacaan Al-Mathurat. Pergaulan dengan perempuan dijaga dengan begitu sempurna, jika mesyuarat terpaksa bercampur lelaki dan perempuan, sama sekali dia tidak akan mengangkat pandangannya.

Semua orang menghormatinya, baik yang junior mahupun senior, baik yang laki-laki mahupun perempuan. Jika ada senior yang tengah membuli junior, jika Naim ada di tempat kejadian, proses buli itu akan bertukar menjadi majlis maaf-bermaafan. Inilah ‘kuasa’ Naim di sekolahnya.

Dia menjadi contoh teladan bagi setiap pelajar sekolahnya. Setiap mata-mata yang wujud di sekolah itu selalu memerhatikan pergerakannya dan mengambilnya sebagai contoh kehidupan yang paling sempurna. Dek kerana mengetahui banyak mata memerhatikannya, dia betul-betul menjaga akhlaknya. Bukan kerana manusia tetapi kerana Allah. Niatnya hanya satu, supaya Islam itu terpancar dari dirinya. Hebatnya dia dalam menjaga akhlaknya, tidak ada seorang pun di dalam sekolahnya melainkan teman sebiliknya yang pernah melihat kulit badannya walaupun dia seringkali bermandi-manda di kolah berhampiran dengan surau.

Sudah pasti, ramai perempuan yang menggilainya walaupun dia tidak mengetahui hal itu. Di hadapannya semua baik, tunduk dengan penuh tawaduknya tapi berlalunya Naim dari tempat itu,mula lah mulut mereka bergerak memuji dan mengumpat tentang Naim. Bukan sahaja pelajar biasa yang meminati Naim tapi ada juga pelajar-pelajar perempuan yang memegang tampuk kepimpinan sekolah yang meminatinya, cuma tidak disuarakan, bimbang ditegur dan yang paling mereka takuti,takut cinta mereka ditolak. Tambahan pula Naim banyak kali mengingatkan pelajar-pelajar supaya menjauhi zina hati, zina yang tidak dapat dilihat dan tidak dapat dirasa tatkala dia memberi tazkirah.


Namun, hatta Nabi Sulaiman yang menjadi raja dunia itupun diuji Allah, inikan pula seorang pelajar sekolah agama yang ilmu agamanya masih bertatih, bahasa arabnya masih merangkak-rangkak. Dia diuji dengan kehadiran seorang pelajar perempuan yang baru pindah ke sekolahnya. Namanya Nisa, Khairun Nisa.Orangnya putih,bertahi lalat di pipi sebelah kanan sedangkan Naim di sebelah kiri.

“Ana Khairun Nisa, sila beri tunjuk ajar.” Nisa memperkenalkan dirinya.

Dalam mahu yang bercampur dengan iman di dalam hatinya, Naim melihat Nisa dengan sipi-sipi matanya sahaja. Ingin dia merenung Nisa dengan lebih tajam tapi iman di dadanya masih kukuh bak tembok besar cina.
“Cantiknya,” hati Naim bermonolog.

Tidak sampai sekelip matapun,imannya menampar hatinya. Dia terus sedar dari diulik oleh syaitan dan lantas dia beristighfar, memohon ampun daripada Tuhan dek kerana melakukan zina, zina hati. Ingin sahaja matanya mengeluarkan bintik-bintik mutiara tanda sesalnya dia akan dosanya namun selaput kaca di matanya masih tebal. Mungkin penyesalannya masih belum kuat untuk memecahkan selaput kaca itu.

Saat berganti saat, hari berganti hari, Nisa pun terpilih untuk menjadi salah seorang AJK Surau sekolah dek kerana dia asyik ke surau berbanding dengan pelajar-pelajar yang lain. Subuhnya di surau, Dhuhanya di surau,Zohornya di surau, Asar, Magrib dan Isyaknya di surau. Seringkali Naim terdengar suara wanita sedang membaca Al-Quran di balik tabir biru yang memisahkan lelaki dan perempuan, ingin dia mengintai siapakah gerangan hamba Allah itu tapi iman masih tebal menyelaput hati nafsunya. Ditakdirkan Allah,suatu hari dia ternampak Nisa masuk ke surau perempuan, maka tahulah dia bahawa suara perempuan yang didengar selama ini ialah suara Nisa.

Sedang dia sedang bersendirian berdoa selepas solat sunat Dhuha,dia terdengar satu suara perempuan meminta tolong dari balik tabir.Suara perempuan itu sayup-sayup.

Imannya bersuara.
“Ish..Nak tolong ke tak..Kalo aku masok belah pompuan,bukanke khalwat..ye la,mane ade orang…aku dan die je..takley,aku mesti bagitau ustaz hal ni,biar ustaz tolong..”

Tapi 1 tetap kalah kepada 2. Imannya kalah dengan nafsu dan syaitan yang menggodanya.

Akal mula campur tangan.
“Kalo aku tak tolong,maybe…em…aku intai dulu la,kalo serius aku tolong segera kalo tak,aku lapor kat ustaz,”

Tabir biru itupun diselaknya dan dia mendapati jari Nisa terkepit di almari Quran. Walaupun sakit, Nisa tetap menahannya,bimbang maruahnya jatuh di hadapan seorang ketua badan Agama sekolahnya. Dan ketika itulah makhluk durjana yang bernama syaitan mula mengambil peranan. Disuntiknya bius-bius dosa ke dalam hati Naim supaya Naim tidak terasa melakukan dosa.

Imannya bersuara.
“Em..Aku kene lapor kat ustat ke?Patot ke aku tolong?Bley ke aku pegang tangan die?Dose..”

Akal yang dibalut dengan nafsunya membuat pertimbangan.
“Ah,darurat,darurat.Even babi pun boleh makan kalo darurat.”

Hatinya membuat keputusan sambil disahkan oleh Syaitan.
“Betul juga,ok,aku tolong.”

Dia memberi arahan kepada Nisa.
“Er,Nisa tahan ek,kejap saya tarik pintu almari ni.”

Suara Nisa bagaikan bunyi ikan bersuara,entah dengar,entah tidak.
“…ok…”

Pintu almari berjaya dibuka, jari Nisa terlepas dari kepitan almari. Merah bak biji saga jarinya, hampir-hampir saja berdarah tapi kulitnya masih kuat menahan segala isi cecair daripada keluar. Tiba-tiba, Naim tanpa berfikir panjang memegang jari Nisa. Niatnya hanya satu,ingin melihat keadaan jari Nisa. Tapi dengan pantas Nisa menariknya dan berlari turun daripada surau dan menuju ke kelas.

Dia berdoa, menangis menyesal dosa yang baru sahaja dibuatnya sebentar tadi.
“Ya Allah,apa aku telah buat ni…Aku bukan sengaja melakukannya Ya Allah..Ampunilah aku..”

Habis sahaja air matanya kering, hatinya diketuk dengan pelbagai soalan. Bukan soalan agama tetapi soal maruah dan Thiqahnya. Bagaimana jika Nisa menceritakan hal tadi kepada kawan-kawannya? Bagaimana kalau cerita itu bocor kepada junior-juniornya? Kalau ustaz dapat tahu, pasti dia akan dilucutkan dari segala jawatan yang disandangnya sekarang. Dia akan dicemuh dan dihina. Dia tidak akan dapat peluang ke depan lagi sewaktu ketiadaan ustaz. Dia bimbang bercampur keliru.

Lamunannya tersentak apabila satu suara memberi salam untuk masuk ke surau. Peluh-peluh resah dan gelisah mengalir di pipi kanannya, dia masih di dalam bahagian surau wanita. Apa yang harus dijawab jika ditanya. Ya,menipu. Menipu adalah jalan penyelesaian yang terbaik buatnya sekarang. Lagipun dia cam suara itu,itu suara Khairul, teman sebiliknya. Baginya tidaklah berdosa menipu teman sebilik yang akrab dengannya.

“Eh,Im.Ape ko wat lam surau pompuan tu?”
Soal Khairul, kelihatan di mukanya perasaan ingin tahu.

“Eh,takde ape-ape la.Aku just check samada quran cukup tak belah pompuan.” jawab Naim.

“Owh,baguslah wat kerja baik atas rumah Allah ni.Insya Allah ko dapat pahala,taknak share ngan aku?”gurau Khairul.

Gurauan yang pada dasarnya kelihatan seperti satu lawak bodoh tetapi ada perkataan-perkataan yang menghantui fikiran Naim iaitu ‘RUMAH ALLAH’.

Ya,di atas rumah Allah inilah Naim melakukan maksiat.

Di atas rumah Allah inilah Naim menipu.

Semuanya di atas rumah ini, rumah kepunyaan Tuan segala tuan.

Tiba-tiba dia menangis tetapi bukanlah menangis seperti anak kecil menangis. Hanya air mata sahaja mengalir di atas pipinya yang sedikit cengkung. Khairul terkejut melihat Naim menangis dan bertanya sebab Naim menangis tetapi Naim hanya berdiam. Khairul membuat andaian sendiri, pada pendapatnya mungkin Naim menangis kerana bertaubat. Lantas perasaan cemburu mula menguasai dirinya.Inilah dia tanda orang beriman,pantang melihat orang lebih dekat dengan Kecintaan nya,pasti dia cemburu.

“Eh Im,kelas da nak start. Jom!”Ajak Khairul.

“Ok,”balas Naim.

Pelajarannya selepas waktu rehat tadi tiada makna. Sepatah kata yang keluar dari mulut cikgu-cikgunya tidak satupun diingati atau diberi perhatian. Matanya tajam memandang ke arah papan hijau di hadapan kelas tetapi fikiran jauh ke laut mencari ketenangan. Jasadnya wujud tapi ruh akalnya tiada. Bukan sibuk memikirkan penyelesaian tetapi sibuk mencari masalah-masalah yang akan timbul jika cerita tadi diketahui umum.

Rupa-rupanya, bukan Naim sahaja yang berjasad tanpa akal, begitu juga dengan Nisa. Cuma ada kelainannya. Nisa sama sekali tidak bimbang tentang nasibnya jika cerita itu bocor atau ada mata yang terpandang peristiwa tadi tetapi kepalanya sibuk memikirkan tentang Naim. Kedudukannya di dalam kelas menyebabkan matanya tidak berkelip memandang Naim dari belakang. Baginya, alangkah bertuah sesiapa yang dapat menawan hati Naim. Kesopanan dan kebaikan yang ditunjukkan oleh Naim sebentar tadi, betul-betul memikat hati suci si gadis ini. Begitulah nasib si Abid tanpa Ilmu. Pantang ditiup angin, pasti dia rebah.

Tangan mula mengambil peranan, diambilnya pen merah jambu kesukaannya dan diambil sehelai kertas memo yang berada di dalam laci mejanya. Sepucuk surat ditulis sebagai tanda terima kasih buat si jejaka budiman. Surat sahaja tidak cukup, dibelinya sekotak air laici yang berharga 80sen dengan duit seringgit. Bakinya dibeli sebatang choki-choki,juga sebagai hadiah.

Seperti kebiasaannya, Naim datang ke kelas seawal mungkin. Selesai sahaja solat Zohor berjemaah dan makan di dewan makan, tanpa menyalin pakaian,dia terus ke kelas. Baginya masa itu emas dan tidak boleh dibazirkan walaupun sesaat.Masih banyak pelajaran tingkatan 4 dan tingkatan 5 yang belum dikuasainya.Tabiatnya ini menjadi ikutan sesetangah pelajar yang lain.Pabila dia melangkah kaki ke dalam kelas,alangkah terkejutnya dia apabila dia melihat sepucuk kertas yang dilipat 2 dan ditindih dengan sekotak air laici dan sebatang choki-choki.

Isi suratnya:

Salam..

Terima kasih kerana tolong ana..

Kalau anta takde tadi,tatau la macamana ana nak buat..

Jangan bimbang,ana tidak akan membocorkan hal tadi kepada orang lain..

Ukhwah Fillah,

Nisa’

Sambil menghirup air laici dalam kotak itu, dia tersenyum. Dengan mengoyak plastik depan choki-choki, dia membetulkan kerusinya, mempersiapkan dirinya untuk menulis surat balas kepada Nisa. Sebaik sahaja pen nya ingin menyentuh dada kertas putih berbelang biru itu, dia terfikir alangkah bagusnya kalau dia mempunyai pen berwarna-warni supaya Nisa tidak jemu membacanya. Mata hitamnya terpandang bekas pensil kawan di hadapannya. Tidak pernah dia menyentuh barang orang lain tanpa izin tapi kali ini tidak lagi. Entah kawannya bagi atau tidak,dia terus menggunanya atas alasan yang sangat biasa, “standardla,kawan..” Maka bermulalah kisah cinta Naim,Si Budak Agama. Balas dia:

Salam,

Terima kasih atas minuman dan makanan yang saudari bagi,

Ana tidak buat apa-apa melainkan untuk menolong insan dalam kesusahan,

Bukankah Islam menyuruh kita menolong orang dalam kesusahan?

Moga Allah meredhaai kita,

Dan,salam perkenalan.Ana Naim.

Naim

Diselitnya surat ini ke dalam buku latihan Nisa’ dengan harapan yang membulat. Maka, Naim dan Nisa mula berbalasan surat.Walaupun pada awalnya,kedua-dua merasa kekok dek kerana dua-dua mempunyai tapak agama yang boleh dikatakan kukuh. Ada juga Nisa bertanya di dalam suratnya, Pening juga Naim dibuatnya namun disejukkan hatinya dan hati Nisa dengan jawapan,

“Kita berbalas surat ni,tak salah ke di sisi Islam?”
“Takpe,kita dating tak pernah. Bertentangan mata jarang sekali. Kita Ukhwah Fillah.Kita berhubungan inipun semata-mata kerana Allah.Kita niat untuk berkahwin,bukan untuk buat maksiat.”

Nisa membalas,
“bagaimana pula dengan zina hati?”
Lalu Naim membalas,
“mana ada zina hati. Zina hati tu ulamak yang buat dengan tujuan umat Islam tidak mendekati zina. Rasulullah tak kata pun. Lagipun cinta ini fitrah, masakan Allah zalim mengharamkan apa-apa fitrah manusia?”
Hilang sudah prinsip yang dipegangnya selama ini.

Walaupun Nisa tidak berpuas hati dengan jawapan Naim,namun dek kerana cintanya dia kepada Naim,di’iya’kan sahaja ‘fatwa’ kekasihnya itu.

Naim dapat mengesan rasa sangsi kekasih hatinya melalui gaya bahasa dan cara penulisan yang agak sedikit berbeda ,lalu dia membalas, Terdiam Nisa’ membaca ‘fatwa’ baru buah hatinya itu. Ingin dia membantah tetapi bimbang dianggap meragui Quran. Mindsetnya yang mengatakan buah hatinya mempunyai ilmu setinggi langit itu menyebabkan dia semakin yakin dengan ‘fatwa-fatwa’ itu.
“Nisa’,bukankah Allah berfirman bahawa perempuan baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik?Ana yakin anti baik dan ana pun yakin yang anti rasa ana baik. Tidak sekali Allah kata isteri yang baik untuk suami yang baik tetapi Allah kata perempuan dan lelaki bermakna belum berkahwin pun takpa. Anti meragui Quran?”

Thiqah bukanlah kerja manusia. Pengaruh bukanlah kawalan manusia. Hati manusia tidak boleh dibeli dengan mata wang, kesetian tidak boleh diperdangkan dengan kemewahan. Semuanya hak mutlak Allah,Tuhan yang membolak balikkan hati manusia. Jika Dia menghendaki seseorang itu mulia, maka mulialah orang itu walaupun pada awalnya dia hanya seorang anak yatim piatu. Jika Dia menghendaki seseorang itu hina, maka hinalah orang itu di atas tahtanya sendiri. Semuanya bukan dengan tiba-tiba tetapi ada syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Nya yang diberi nama Sunnatullah.

Kepercayaan manusia terhadap seseorang itu akan datang bila dia mendekatkan diri dengan Tuhannya. Kesetiaan seseorang terhadapnya menjadi lebih solid pabila dia menyempurnakan apa yang dilafaznya.Inilah hukum yang ditetapkan Ilahi.

Makin hari, pengaruh Naim semakin jatuh. Kawan-kawan dan junior-juniornya semakin bosan dengannya. Sebab? Tiada. Jelas sekali soal hati, Dia yang punya. Hidup Naim juga menjadi tidak tentu hala. Dulu dia berbaju ketika mandi di kolah,kini tidak lagi. Pertimbangan akal menjadi semakin kurang,mungkin terlampau tebal kabus dosa yang menutupi hatinya.thiqahnya kian jatuh. Terkadang dia dimarahi oleh cikgu-cikgu kerana prestasinya yang kian merosot.

Dia merasakan tekanan semakin bertambah.Tiada lagi sakinah yang dianugerahkan kepadanya dulu. Tiada lagi senyuman tatkala kesusahan. Tiada lagi nasihat-nasihat penenang yang mampu diberi pabila adik-adik datang meminta nasihat.

Jika dulu dia mampu mengambil tugasan luar walaupun ketika peperiksaan bulanan dijalankan, kini tidak lagi. Bukan peperiksaan pun dia tidak dapat mengatur masa dengan baik. 24 jam baginya tidak cukup. Masa untuk dia belajar, masa untuk dia berpersatuan dan masa untuk Nisa. Pernah dia berdoa meminta diberi 1 jam lebih tapi dia tidak sedar bahawa jika dia diberi 100 jam lebih pun, pasti tidak mencukupi.

Khairul merasa hairan dengan perubahan sikap kawan sebiliknya itu. Kadang-kadang tersenyum seorang diri,kadang-kadang masam dan kadang-kadang seperti bercakap seorang diri. Naim seakan-akan gila. Betul Naim gila,gila bayang. Panahan syaitan benar-benar telah menusuk ke dalam hatinya, membuat satu lohong iman di dalam hatinya. Khairul cuba bertanya mengapa dia seakan-akan berubah tapi dimarahnya Khairul,

“kubur lain-lain,syurga lain-lain,neraka pun lain-lain!”

“Betul,sebab lain-lain la aku nak tanya ko.Mane la taw ko ade masalah,bimbang takut di sana pun ko ade masalah.”Ujar Khairul.

“Ko taw kan firman Allah, kuu anfusakum wa ahli kum naara?”Soal Naim.

“jagalah diri kamu dan ahli keluarga mu daripada api neraka..jadi?”Jawab Khairul.

“Jadi?!Aku ahli keluarga kau ke?!”Marah Naim lagi.

Khairul terdiam sedar bahawa ilmunya tidaklah setanding dengan Naim. Perasaan kesal timbul dalam hatinya atas tindakan sahabatnya sebentar tadi. Namun,atas dasar silatur rahmi kerana Allah,dia nekad untuk mengetahui punca Naim berubah. Baginya pokok tidak akan bergoyang jika beruk tiada di dalamnya. Walaubagaimanapun,Khairul tidaklah selicik Naim, dia buntu apabila memikirkan adakah tindakannya selari dengan Islam atau berserenjang dengan Islam. Lalu disampaikan isi hatinya kepada Ustaz Faidi, Mentornya.

“Er Ustaz,saya ada masalah nak bincang dengan ustaz.”Bagitahu Khairul.

“Ma?”Soal Ustaz balik.

“Ustaz,saya bimbang dengan Naim,teman sebilik saya. Perangainya seperti sudah berubah. Dia macam bukan dia..Er, tataw nak terang macamana..”Terang Khairul.

“Na’am,ana pun perasan perubahan pada Naim. Dia dah bukan macam dia yang dulu. Banyak perubahannya.”Tambah Ustaz.

“Saya rasa,ada yang disembunyikan olehnya Ustaz dan saya rasa,ada baiknya saya menyiasat..Bolehkah ustaz?”Soal Khairul.

“Dalam Islam,mengintai mencari kesalahan orang ini diistilahkan sebagai Al-Tajassus. Hukumnya asalnya haram tapi boleh berubah menjadi harus pabila diperlukan. Dan dalam keadaan ni,hukumnya harus.”Terang ustaz.

Penyiasatan bermula dan penyiasatan Khairul bertemu dengan jalan buntu.Tiada sebarang benda buruk yang dilakukan Naim.Namun, pabila Allah menghendaki yang gelap menjadi terang,dihilangkan bintang dan diganti dengan matahari. Sepandai-pandai tupai melompat,akhirnya jatuh juga ke tanah.Akhirnya surat yang disimpan selama ini dijumpai oleh Khairul ketika dia sedang membersihkan surau. Rupa-rupanya,surat-surat yang dihantar oleh Nisa’,selama ini disimpan di balik almari al-quran di hadapan tempat imam solat.Terkesima Khairul dibuatnya apatah lagi ketika membaca perkataan-perkataan yang telah berlaku evolusi,daripada ‘ana’, ‘anti’, kini ‘sayang’, ‘ayang’.Daripada ‘ukhwah Fillah’ kini ‘I luv U’.

Khairul tidak salah lagi,surat itu kepunyaan Naim. Tertera nama Naim di atas belah kiri surat, ‘Buat Naim ku sayang’. Dalam tidak sedar, Khairul menangis. Dia betul-betul sedih membaca surat-surat itu,bukan kerana Nisa yang dalam pemerhatiannya juga dirampas orang tetapi sedih bagi pihak Naim. Terngia-ngia di telinganya bacaan ayat 2 dan 3 surah As-Saf yang selalu dibaca oleh Naim ketika menjadi Imam Magrib. Mengenangkan maksud ayat-ayat tersebut yang secara ringkasnya membari maksud melarang orang beriman daripada memberi nasihat tentang apa yang mereka perbuatkan, Khairul terus menangis.

Dari luar surau, kelihatan Naim yang baru sahaja sampai di surau. Tanpa berfikir tentang benda lain, Naim terus memandang ke arah tempat penyimpanan ‘harta karun’nya itu. Terperanjat dia apabila mendapati Khairul sedang memegang ‘harta-harta karung’nya itu dan tanpa berfikir panjang,dia berlari ke arah Khairul. Sekali lagi dia melanggar prinsip yang diajar kepada orang-orang lain supaya menghormati rumah Allah, jangan berlari-lari di atasnya. Dia lupa bahawa dia pernah melarang kawan-kawannya yang bergurau di dalam rumah Allah, katanya bahawa berlari di atas rumah Allah seperti berlari di atas perut ibu sendiri yang sedang sarat mengandung. Entah benar,entah tidak.

Ditolaknya Khairul ketepi dan dirampasnya semua surat-surat yang dipegang oleh Khairul.

“Woi,ape ko buat ni?!!!”Marah Naim.

“Woi? Mana pergi bahasa mu wahai kawan?Mana pergi sopan santun mu wahai kawan?Mana pergi dirimu yang dulu wahai Naim?”Soal Khairul sambil mengesat air mata yang sedang mengalir.Naim terdiam.

“Rupanya,inilah masalah mu wahai kawan.Tiada ku sangka dirimu sedemikian,wahai kawan.Bagiku engkau lah model, engkaulah insan sempurna yang memancarkan sinar Islam ke sekolah ini.Kini kau sirna wahai kawan,kau mutiara yang kian sirna!”Marah Khairul.

“Ah,kau peduli ape!”Naim bersuara walaupun hatinya terkesan dengan kata-kata Khairul.

“Jujur aku tanya,kau couple Im?”Soal Khairul.

“Aku couple ke,aku tak couple ke,tu soal aku la.Dosa biar aku tanggung sendiri!Jangan risau la,aku takkan heret kau masuk neraka sama dengan aku!” Lantang sungguh Naim berbicara.Dia lupa di atas lantai rumah siapakah yang dia pijak sekarang.

Khairul berlalu dari tempat itu dengan penuh penyesalan. Ingin dia salahkan takdir kerana menemukan dia dengan seorang kawan yang hipokrit seperti Naim namun dia akur dengan qada’ dan qadar Ilahi.

Semasa mereka bekelahi sebentar tadi,mereka bukan berdua. Di balik tabir biru itu ada 3 pasang telinga yang mendengarnya secara tidak sengaja. 3 orang pelajar junior perempuan baru sahaja selesai mendirikan solat sunat Dhuha mendengar setiap butir perkataan yang keluar daripada mulut mereka berdua.

Malang si Naim. 3 orang pelajar itu bukanlah pelajar yang diam sifatnya. Dihebahkan berita Naim berpacaran ke setiap juzuk sekolah sehingga para cikgu pun tahu mengenainya. Ke mana sahaja Naim pergi,pasti ada mata-mata yang memandangnya dengan hujung-hujung mata dan sebaik sahaja Naim pergi, mulalah syaitan berpesta dengan dosa mengumpat. Bertambah malang bagi Naim,dia tidak tahu bahawa semua orang telah tahu dia berpacaran. Tazkirah yang seringkali ditunggu oleh semua pelajar kini dicemuh,dihina dan dikutuk oleh semua yang mendengarnya kecuali kekasih hatinya, Nisa.

Khairul, si sahabat setia ini tidak senang mendengar orang mengumpat sahabat sejatinya. Akhirnya dia berkeputusan untuk menyampaikan sendiri kepada Naim bahawa semua orang sedang mencelanya.

Im,senanye..Sume orang da taw ko couple..”Bicara Khairul secara perlahan.

“Hah?!” Terkejut Naim.Apa yang ditakutinya kini menjadi realiti.

“Ko bagitaw orang?!!!!”Soal Naim.

“Eh,tak..Aku pun tak taw macamana bley..”

“Ah!! Inilah kawan! Kawan makan kawan! Aku tau dari dulu lagi ko dengki ngan aku, ko dengki ngan jawatan aku dapat!Aku taw kau sengaja nak jatuhkan aku!”Naim memotong dengan lajunya,melebihi had laju yang sepatutnya.

“Demi Allah..”

“Jangan main dengan sumpah! Berani sebut nama Allah dalam wat dosa,dasar…”Sekali lagi Naim memotong,laju benar susun katanya.

“Aku menyesal bagitahu kau,aku ingat kau la kawan aku yang sejati rupa-rupa..”

“Rupa-rupa apa?!Musuh?!”Naim marah lagi.

“Na’am! Musuh Allah,musuh agama Allah! Ko nasihat orang jangan bercouple,jangan zina hati, jangan itu,jangan ini tapi dalam masa sama kau buat! Ko lupa ayat-ayat surah As-Saf yang ko selalu baca tyme jadi Imam? Ko lupa?! Meh aku ingatkan ko! Wahai orang beriman jangan kau melarang apa yang engkau kerjakan,s ungguh besar kemurkaan Allah pada engkau! Ya,pada engkau Naim!Allah memurkai mu dan layaknya aku membenci mu!” Balas Khairul dengan penuh perasaan kecewa.Lalu dia meninggalkan bilik dengan menarik tombol pintu dengan sekuat-kuatnya.

Keheningan dan kesunyian malam itu dipecahkan dengan dentuman pintu bilik khas, bilik Naim dan Khairul. Di sekolah itu mereka sahaja yang diberi keistimewaan untuk tinggal di bilik dan orang lain di dorm, memandangkan mereka ialah ketua dan penolong ketua pelajar di sekolah itu. Pelajar-pelajar senior yang mendengarnya keluar dengan berlari, hati mereka ingin benar mengetahui apa yang berlaku namun kelihatan hanya Khairul sedang berjalan menuju ke tandas. Berbeza pula dengan pelajar junior,mereka dengan lajunya menutup lampu dan berpura-pura tidur,bimbang nama mereka dipanggil untuk dijadikan ‘lauk’ para senior malam itu.

Kata-kata Khairul benar-benar menikam qalbu terus ke akal. Tersentak Naim buat seketika. Mimpi ngeri dalam hidupnya baru bermula. Tidak,dia baru sedar yang dia dalam mimpi ngeri. Tindakan segera wajib diambilnya jika tidak thiqahnya akan terus merudum jatuh menyembah bumi.Jika dia terus begini,tiada lagi ‘Abg Naim Si Budak Surau’ atau gelaran ‘Wali Naim’. Tiada lagi kesetiaan,tiada lagi kepatuhan dan tiada lagi insan yang akan menghormatinya menggunakan hati mereka. Apa yang ada hanya lakonan. Buah di luar, duri di dalam.

Dikuatkan hati,diringankan tangan untuk menulis surat terakhir buat kekasih hatinya. Tapi ternyata dia gagal. Semalaman dia tidak lena,pening memikirkan jalan penyelesaian yang pasti tiada jawapannya. Akibatnya,dia tertidur di dalam kelas.

“Naim,bangun!”Arah Cikgu Marlina, cikgu matematik tambahan yang terkenal dengan garang dan keceluparan mulutnya.

Naim terjaga dari lenanya dan terus berdiri.

“Apa dah jadi dengan awak ni?Dalam kelas tidur,luar kelas bercinta!”Marah Cikgu Marlina.

Awan hitam kini melitupi Naim,dia merasa tersangat malu. Bukan arang yang diconteng ke mukanya sekarang tetapi najis,najis manusia,manusia yang bernama Naim, najisnya sendiri. Tiada kata dapat dibalas, dia hanya tunduk terdiam.

Naim bijak dalam beragama tapi dia gagal dalam berpolitik.Dia tidak sedar akan tindakan untuk tunduk dan diam itu bukanlah satu tindakan yang betul dalam berpolitik. Tindakannya itu sepeti dia mengakui kesalahannya dan dalam erti kata lain,dia mengakui bahawa dia sedang bercinta.

Marah Cikgu Marlina tadi bukan sahaja menampar Naim tapi terbias juga kepada pasangannya, Nisa. Nisa tunduk,akur dengan kesilapannya. Kini,dia sedar bahawa dia telah menarik Naim ke lembah kebinasaan. Surat pertamanya,surat tanda terima kasih itu merupakan surat jemputan ke neraka. Dia sudah sedar segala-galanya. Surat,hadiah dan fatwa-fatwa Naim itu merupakan alatan-alatan yang dibuat oleh syaitan. Nampak seperti sesuai dengan syarak tapi penuh dengan unsur kemaksiatan, tidak dapat dilihat oleh mata kasar,hanya mata hati dapat mengesannya.

Cara yang terbaik untuk Nisa sekarang,menulis surat terakhir,surat tanda perpisahan, surat yang akan meniupkan kembali segala kebaikan dan menutup segala keburukan. Dengan nekad yang kuat di dalam hati,keyakinan yang tinggi terhadap Islam,Nisa memegang pen merah jambu kesayangannya dan mula menulis.

Salam sayang,

Sudah hampir 5 bulan kita bercouple,

Ayang percaya yang sayang sudah tahu isi hati ayang,

Ayang benar-benar menyintai sayang..

Sepenuh jiwa dan raga ayang..

Namun,ayang sedar satu benda,benda yang mungkin buat kita menangis,

Dalam kita asyik mengejar cinta Ilahi bersama-sama,kita telah balutinya dengan cinta yang penuh dengan kepalsuan.Cinta manusia yang tidak mempunyai dasar yang kukuh.Kita selesakan diri kita dengan menyatakan cinta kita berdasarkan iman tapi dengan iman itu kita melakukan maksiat.Benar kita tidak pernah berjumpa,berdating seperti remaja lain tapi maksiat bukan itu sahaja.

Ayang yakin dengan kata-kata sayang bahawa tiada hadis yang menyatakan zina hati tapi ayang baru perasan bahwa ayat la taqrabu zina itu menggunakan fail qaraba yakni perbuatan mendekatkan dengan hati.Maknanya,dengan hati pun tidak boleh dekati zina.

Ayang bukanlah membuat fatwa atau apa-apa ajaran tetapi itulah yang ayang percaya.Tindakan kita ini tidak lain tidak bukan,membersihkan najis dengan air kencing sendiri.Najis tidak bersih tetapi bertambah kotor,mengalir dan terus mengalir mengotori semua tempat.

Sayang..Ayang percaya pada jodoh.Jika kita dijodohkan bersama,Insya Allah,kita akan bersama.Tidak perlu bercouple atau berkenalan,jika Allah nak kita bersama,insya Allah kita bersama.

Percayalah,itu hak Allah.Dia boleh buat apa yang dia suka.Dia yang menghidupkan Isa tanpa bapa,menyejukkan api yang membakar nabi Ibrahim,memutuskan air penghalang nabi Musa dan menghidupkan Sam bin Nuh buat nabi Isa.Jika semua perkara ganjil itu Allah yang buat,apatah lagi soal jodoh yang merupakan soal kebiasaan.

Semoga apa yang kita bina selama ini diampuni Allah.

Ukhwah Fillah.

Nisa

Tertitis setitik dua air matanya di atas surat itu tapi cepat-cepat dilapkan supaya tulisan tidak hilang.Sengaja dia tidak mengambil kertas baru dan menulisnya kembali supaya Naim faham isyarat yang cuba diberinya.Hati Nisa tidak mahu tapi disebabkan imannya, agama didahulukan. Kemahuan ditolak ketepi walaupun perit menolaknya.

Surat keramat diletakkan di atas meja Naim, kali ini tiada lagi air laici dan tiada lagi choki-choki,surat semata-mata. Naim membacanya dan dia telah bersedia dengan keadaan ini. Tiada lagi air mata,tiada lagi tangisan tiada lagi kedukaan. Kisah cintanya jelas bukanlah cinta yang menghasilkan CINTA tapi cinta yang berpaksikan maksiat semata-mata.

Tangannya pantas mencari kertas dan pen untuk membalas surat terakhir ini.Tengah dia berfikir ayat-ayat cinta terakhir, hidayah Tuhan sampai. Cahaya yang akan menghilangkan segala titik hitam yang bertapak di permukaan hatinya.Cahaya yang akan membaca cinta ini kepada CINTA.

Dengan penuh yakin,dia mengoyak kertas yang ditulisnya tadi. Dia yakin,jika dia menulis surat balas,syaitan akan mencelah dan mengambil peluang lagi ke atasnya. Biarlah surat ini bergantung sebegini supaya dapat disambung di akhirat nanti.


***

p/s: cerpen ini bukan hasil penulisan pemilik blog :)

Nantikan sambungan bagi cerpen ini di Tirai Pertemuan