Followers

Tuesday, July 21, 2020

My 1st Pregnancy Journey

Pada penghujung bulan Oktober 2018 yang lalu, saya selamat diijab kabulkan bersama seorang lelaki. Majlis berlangsung dengan begitu sederhana di kediaman mak dan abah saya. Alhamdulillah segalanya berjalan dengan lancar.

Pada awal Disember 2018, saya disahkan hamil 5 minggu. Perasaan masa tu gembira bercampur sedih disebabkan kandungan saya berisiko untuk gugur kata doktor. Saya mengalami sedikit pendarahan secara berterusan sehingga kandungan berusia 7 minggu. Setiap 2 minggu saya akan berulang-alik bersama suami ke hospital untuk berjumpa doktor. Doktor tidak memberi sebarang ubat-ubatan kepada saya dan meminta saya agar terus berdoa semoga janin yang ada di dalam rahim saya kuat untuk survive. Kandungan saya 50-50 masa tu doktor bagitahu.

Kali pertama melakukan pemeriksaan kandungan untuk memastikan kantung baby betul-betul berada di dalam ruang rahim kerana bimbang sekiranya ianya berada di luar rahim, ia perlu dibuang segera. Alhamdulillah doktor mengesahkannya selamat berada di dalam rahim. Doktor meminta saya & suami menunggu sehingga usia kandungan mencecah 9 minggu untuk mengesan degupan jantung janin.

Sepanjang tempoh menunggu, saya & suami tidak berhenti berdoa kepada Allah agar kami diberikan rezeki untuk menimang cahaya mata yang pertama. Suami menyarankan saya untuk mengambil supplement lain sebagai ikhtiar kami berdua disamping berdoa & berharap pada Allah. Kami juga pergi ke klinik swasta untuk mendapatkan ubat-ubatan yang boleh membantu pendarahan yang saya alami berhenti. Kadang-kadang saya menangis apabila berlaku pendarahan, mujur ada suami di sisi yang sentiasa memberi semangat dan menemani saya.

Sebaik sahaja usia kandungan mencecah 9 minggu, saya dan suami hadir ke hospital untuk melakukan pemeriksaan. Alhamdulillah buat pertama kalinya saya dapat mendengar bunyi degupan jantung janin yang ada di dalam rahim saya. Doktor mengesahkan bahawa kandungan saya membesar dalam keadaan yang baik. Alangkah gembiranya saya dan suami pada ketika itu.

Pada usia kandungan mencecah 10 minggu, saya pergi ke klinik kesihatan ibu & anak seorang diri untuk membuka buku pink. Suami terpaksa bekerja pada hari tersebut. Alhamdulillah segala proses berjalan dengan lancar. Bermula daripada mengisi maklumat diri di dalam buku, menguji air kencing, pengambilan sampel darah sehinggalah pemeriksaan di bilik jururawat. Berat badan saya pada ketika itu hanyalah 43 kg.

Kemudian bermulalah perjalanan saya seperti para ibu yang lain yang perlu membuat pemeriksaan setiap bulan di klinik kesihatan. Betul lah kata orang, sebelum kita dapat tahu kita hamil, sebarang alahan pun tiada.

Bercerita tentang pengalaman menghadapi alahan, 4 bulan pertama tempoh kehamilan, saya tidak mampu untuk menelan nasi, rasa mual tapi tidak sampai muntah, setiap petang badan akan terasa letih & seperti hendak demam, tapi diwaktu pagi begitu segar untuk melangkah ke bilik mandi, saya tidak boleh bau sebarangan minyak wangi tapi nasib baik boleh bau badan suami, makan cuma makanan berkuah sahaja seperti bihun sup, mee kari, lontong, laksa dll. Selera makan memang berkurang. Bila pergi check up di klinik, berat badan saya langsung tak naik tapi nurse tak bising sebab memang selera makan tak ada. Doktor & nurse pesan untuk banyak minum susu, makan buah-buahan terutama buah jambu, makan banyak benda hijau seperti sayur dan jangan tinggalkan vitamin & ubat yang klinik sediakan sebab semua tu untuk bayi yang ada di dalam kandungan.

Sepanjang tempoh awal kehamilan, saya dan suami banyak makan di kedai disebabkan saya tidak boleh hidu bau tumisan. Paling suka makan kentang goreng segera pada waktu itu. Makan ubat pun mesti nak telan bersama air manis atau jus buah, kalau telan dengan air kosong, mula lah rasa mual dan nak muntah dengan bau ubat yang agak meloyakan tekak.

Masuk bulan kelima kehamilan, selera makan saya semakin bertambah, saya mula makan nasi dalam kuantiti yang banyak dan makan pelbagai makanan. Saya jadi suka makan masakan pedas walhal sebelum hamil saya kurang gemar makanan pedas disebabkan perut yang tak dapat tahan. Saya tidak mengidam apa-apa makanan kecuali suami. Suami saya yang mengidam macam-macam tapi tak kerap & makanan yang diidam tu juga tak susah nak cari. Alhamdulillah. Cuma saya perasan sepanjang tempoh kehamilan saya kerap teringin minum air nescafe, saya akan minum apabila rasa teringin sangat sahaja itu pun dua ke tiga teguk. Minuman yang berkafein memang tidak digalakkan untuk diminum.

Sepanjang tempoh kehamilan juga, suami banyak membantu melakukan kerja-kerja rumah dan melegakan kesakitan-kesakitan yang saya alami seperti sakit belakang, angin yang banyak dalam badan dll. Semasa di bulan kelima kehamilan ini, saya pertama kali dapat merasa pergerakan bayi yang ada di dalam rahim saya. Terasa seperti ada sesuatu yang sedang berguling-guling di dalam perut. Hanya saya sahaja yang dapat merasakannya tapi suami tidak walaupun beliau menyentuh perut saya ketika bayi sedang bergerak.

Masuk bulan kelima dan keenam kehamilan, berat badan saya naik mendadak sebanyak 3kg setiap bulan sehingga nurse & doktor meminta saya meminum air gula di klinik untuk mengesan sekiranya saya menghidap kencing manis semasa tempoh kehamilan huhu. Berat yang sepatutnya naik setiap bulan adalah sebnyak 2kg sahaja mengikut prosedur di klinik kesihatan kerajaan.  Alhamdulillah setiap kali menghadiri pemeriksaan di klinik, HB saya berada pada paras yang selamat dan keadaan kesihatan saya dan bayi juga baik. Hasil ujian kencing manis saya juga adalah negatif.

Memasuki bulan ketujuh kehamilan, berat badan saya tidak berganjak disebabkan saya berpuasa ketika di bulan ramadan. Alhamdulillah nurse tak bising juga. Setiap kali berbuka puasa, saya akan makan nasi dengan sangat banyak, bersahur dengan telur, ayam, roti, susu & kurma (itu pun sebab suami paksa makan kurma). Sayang sangat di bulan puasa saya kurang gemar makan kurma walhal sebelum ini saya juga penggemar kurma.

Memasuki dua bulan terakhir kehamilan, kaki saya mula mengembang dan berasa sakit, tidur menjadi tidak selesa & tidak lena, kerap ke bilik air pada jam 2-3 pagi, jerawat semakin meriah tumbuh di bahagian dahi. Pergi kerja, rasa malas nak bersiap dan aci redah je tudung senget pun kita jalan je. Huhu. Disebabkan cara jalan dah kurang stabil, request kat suami nak kasut baru. Pergi kerja, pakai kasut sneakers je, senang nak melangkah. Rasa-rasa boleh bayang tak macam mana rupa lah agaknye diri saya ni. Selekehnya.. Sepanjang pregnant tak suka bergambar, boleh kira rasanya berapa keping je gambar yang ada. Berat terakhir yang saya capai semasa di hujung kehamilan ialah 52 kg. Hehe..


P/s: Kita catat kenangan kat sini supaya tak lupa ;)

No comments:

Post a Comment