Followers

Monday, May 21, 2012

Kisah Antara Cinta & Suka


Di suatu pagi nan indah, aku bersama keluarga ku berada di sebuah IPT. Hari ini merupakan hari pertama aku menjejakkan kaki ke alam yang lebih mencabar. Aku akan mendaftarkan diri sebagai seorang mahasiswi dalam bidang kejuruteraan awam. Bidang yang agak mencabar bagi diriku. Tetapi aku tetap dengan cita-citaku untuk menjadi seorang mahasiswi yang berjaya lantas menjadi seorang jurutera bangunan, bukan sahaja bangunan konkrit, malah jurutera bagi pembangunan ummah. Ya! Itulah cita-citaku.

Dalam langkahan kaki ku yang kelihatan penuh semangat ini, tiba-tiba aku terlihat seorang muslimin. Gaya macam 'senior' sahaja. Daripada segi fizikalnya, dia kelihatan kemas dan intelektual. Lantas aku menjadi kagum melihatnya. Tanpa melengahkan masa, aku berlalu dari situ dan menuju ke kolej kediaman ku. Banyak yang perlu dikemas. Habuk dan debu masya Allah.

Setelah seminggu aku memulakan kuliah, hari-hari ku menjadi semakin mencabar. Jadual kuliah yang padat menjadikan aku mahasiswi yang sangat 'busy' dengan segala assignment daripada pensyarah-pensyarah ku.
Aku tak dapat bayangkan sekiranya aku memegang sebarang jawatan dalam sesebuah organisasi, tentu aku tidak dapat memberikan sepenuh tumpuan dalam pelajaran, malah banyak pula assignment yang akan tertangguh.



Sangkaan ku meleset sama sekali, aku akhirnya tertarik untuk menjadi salah seorang ahli dalam sebuah badan dakwah di situ. Pada mulanya, jujur aku sangat berminat dan mencari-cari badan dakwah yang ada di
IPT ini. Tetapi memandangkan jadual kuliah yang terlalu padat, aku membatalkan niatku.

Aku akhirnya memegang satu jawatan yang agak mencabar bagiku. Jawatan yang ku rasakan sangat berat untuk dilaksanakan, tetapi kerana Allah aku dipilih, aku akan laksanakannya sebaik mungkin. Aku lebih banyak berkongsi cerita dan pengalaman kepada rakan-rakan ku. Itulah caraku dalam melaksanakan tugasku.

Aku ini tidaklah sehebat mana, aku bukan seorang yang mampu berhujah dengan hadis dan al-Quran, tetapi aku cuba sabaik mungkin untuk kongsikan apa yang telah aku pelajari ketika di bangku sekolah dahulu. Ustaz & ustazah ku banyak mengajar dan membantu ku untuk lebih memahami tafsirul Quran. Terima kasih ustaz dan ustazah kerana telah mengajar aku yang sangat lemah ini. Alhamdulillah ku panjatkan segala pujian hanya untuk Dia yang teristimewa.

Di suatu petang yang mataharinya menyinar sepoi-sepoi bahasa, aku berjalan bersama kawan-kawanku menuju ke musolla. Pada setiap hari khamis, kami akan mengadakan usrah atau lebih dikenali sebagai bulatan gembira di koridor masjid. Dalam kekhusyukan mendengar tazkirah daripada naqibah ku, tiba-tiba aku terpandang akan seorang muslimin yang pernah aku lihat sebelum ini. Ya! Dialah muslimin yang aku pernah katakan kemas dan intelektual itu.

Muslimin itu sedang sibuk menolak tirai-tirai yang memisahkan antara bahagian muslimin dan muslimat memandangkan esok adalah hari Jumaat. Para jemaah lelaki akan berpusu-pusu ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat di sini. Tiba-tiba, jantungku berdegup kencang dengan tidak semena-mena. "Oh tidak, kenapa ni? Tak kanlah aku jatuh cinta pandang kedua kot? " bisik hati kecil ku.

Aku terus melarikan pandangan dan kembali memberikan tumpuan kepada naqibahku. Tetapi fikiran ku masih lagi melayang entah ke mana. Syaitan mula memainkan peranannya dengan membisikkan pelbagai bisikan agar aku memandang kembali muslimin tersebut. Dengan sekuat hati, aku menjerit di dalam hati, " Ya Allah, kuatkan aku! Aku tak nak pandang dia lagi! ".


Selang beberapa hari, seorang kakak senior datang menghampiriku. Aku memanggilnya dengan nama singkatannya, Kak Ecah. Dia seorang yang sangat cantik pada pandanganku, lemah lembut dalam tutur kata dan juga perbuatannya. Aku sangat senang bersama dengan dia. Dalam pada kami berbual, tiba-tiba Kak Ecah memberitahu ku bahawa wajah aku mirip dengan seorang muslimin di situ. Dia berkerja keras mengingati nama muslimin tersebut, dan akhirnya dia menyebut, " Ha..akak dah ingat! Nama dia Farhan ". Aku hanya tersenyum memandangnya.

Jujur aku tidak mengenali nama muslimin yang disebutkannya. Aku mula membayangkan alangkah indahnya jika muslimin itu adalah muslimin yang aku lihat tempoh hari. Macam kisah yang selalu aku baca dalam novel dan artikel.  "Astaghfirullah al azim.." Aku tersentak dari lamunan ku. Nah! Inilah bahana terlalu banyak membaca kisah cinta "islamik". Bukan tidak boleh, tetapi jangan sampai melalaikan diri sendiri seperti apa yang sudah aku lakukan tadi.

Sejak kejadian tempoh hari, aku semakin kerap pula terserempak dengan muslimin tersebut. Boleh dikatakan setiap pagi sebelum ke dewan kuliah, aku pasti akan terlihat dia yang turut sama berjalan untuk ke kuliah pada pagi itu. Aku semakin bingung, bila sahaja terlihat dia, jantungku menjadi-jadi pula debarannya. Aku tidak selesa dengan keadaan ini. Aku tidak selesa dengan perasaan ini.

Aku menjadi semakin suka pada muslimin tersebut apabila kawan-kawanku sering meng'gosip'kan aku dengan muslimin tersebut. Mereka sering memberitahuku yang muslimin tersebut seorang yang sangat pandai dalam pelajarannya, sangat pemalu dan rajin orangya. Dan yang lebih menambahkan perisa kesukaan aku terhadapnya, apabila muslimin itulah yang pernah Kak Ecah beritahuku tempoh hari. Ya, dialah Farhan yang memiliki wajah semirip denganku. Tapi bagiku, wajahnya jauh berbeza dari wajahku.


Aku mula memikirkannya secara serius, antara cinta dan suka, yang mana satu lebih dekat denganku. Secara peribadinya, bagiku cinta dan rasa suka itu ada beza antara keduanya. Cinta padaku satu rasa yang mampu membuatkan diri dibuai pelbagai angan-angan, bak kata orang, tidur tak lena, mandi tak basah. Asyik memikirkan si dia di kala melakukan apa jua aktiviti. Bila terdengar lagu cinta, fikiran pantas teringatkan si dia. Apa pun hanyalah si dia sehingga tidak nampak sekelumit keburukan pun padanya.

Mungkin aku hanya suka pada Farhan. Ya, aku pasti itu! Aku suka akan akhlak dan peribadinya yang sederhana. Aku suka apabila dia pandai menjaga pandangannya. Berjalan tunduk dan tidak banyak berbicara. Bukan hanya dia seorang, malah mana-mana muslimin yang mempunyai akhlak serupa dia juga turut aku suka. Alhamdulillah mujur hanya suka, aku bimbang perasaan ku berubah sampai ke tahap cinta.

Setelah beberapa hari aku memuhasabah diriku, aku kembali 'normal' seperti sedia kala. Aku tidak lagi merasa jantungku berdegup kencang apabila bertemu dengannya. Aku selalu berdoa agar Allah sentiasa menjaga hatiku dan aku belajar untuk lebih menjaga pandanganku. Semuanya bermula dengan pandangan.
Tidak aku nafikan, perasaan berdebar itu sentiasa hadir apabila aku bertemu dengan mana-mana muslimin. Jauh sekali untuk aku katakan yang aku jatuh cinta pada semua muslimin yang ada di situ.

Hari-hari ku berlalu dengan lebih tenang dan bahagia. Aku semakin bijak membahagikan masaku untuk menelaah pelajaran dan bergerak aktif dalam organisasi ku. Malah, aku masih punya waktu untuk bersukan di waktu petang. Apabila aku keletihan menjalani aktiviti seharian, aku selalu ingat akan pesanan Dia yang teristimewa di hati, " apabila kita membantu agama Allah, Allah pasti akan membantu kita kembali ".


Cintaku hanya untuk Allah dan Rasul Nya. Biarpun aku seorang yang mudah suka pada seseorang tetapi aku tidak mudah untuk jatuh cinta pada seseorang dan perkara itu sangat sukar bagiku. Moga Allah sudi memelihara cintaku ini. Aminn..

***


: cerpen ini tidak berkait dengan mana-mana insan termasuk penulis.
: perkara yang nak ditekankan ialah perbezaan antara cinta dan sukamaka terhasillah kisah di atas ini :)


.: Fatin Farhana :.
Ampang, Kuala Lumpur

3 comments: