Nurul
Izzah Bt Ahmad. Sebuah nama yang sangat indah untuk disebut, Cahaya Ketinggian.
Izzah dilahirkan dalam sebuah keluarga golongan sederhana. Membesar dalam
sebuah Kota Metropolitan yang penuh cabaran. Kini usianya genap 20 tahun.
Sedari
kecil, Izzah mempunyai keinginan yang sangat tinggi. Seorang gadis kecil yang
mempunyai keberanian yang luar biasa. Meskipun mempunyai ibu bapa yang tidak
sefikrah dengannya, namun dirinya masih mampu bertahan.
“Mama,
kenapa kakak tak boleh pergi besok?” Izzah bertanya kepada mamanya.
“Mama
kata tak boleh, tak boleh la. Mama tak nak kamu bergaul dengan kakak-kakak
tudung labuh tu” Mama berpaling menuju ke dapur.
“Tapi
mama, Izzah bukannya pergi ke program yang tak elok. Izzah pergi program-program
ilmu. Izzah suka program-program yang macam ni” Izzah tak mahu mengalah.
“Mama tak nak anak Mama
terlibat dalam program-program politik, politik semuanya tak bagus. Full stop!”
Izzah tidak mampu untuk meneruskan
kata-katanya lagi.
Mamanya tahu anaknya pasti akan pergi ke
program yang baik dan bermanfaat. Tetapi satu sahaja yang tidak berkenan
dihatinya, semua program yang anaknya mahu ikuti, adalah program-program
anjuran Parti Pembangkang. Dia seakan allergic apabila mendengar nama
parti itu disebut-sebut. Entah kenapa, dalam hatinya sentiasa merasakan
pimpinan kerajaan adalah yang terbaik. Sejak kecil, arwah ayahnya cukup aktif
dalam mesyuarat dan program-program kerajaan.
Izzah
duduk termangu di atas katil. Sudah hampir 2 jam dia berkurung di dalam
biliknya. Air matanya tidak mampu ditahan lagi. Hatinya merintih sendirian.
“Mama,
kenapa Mama cukup tak suka Izzah berkawan dengan kakak-kakak tu? Kakak-kakak tu
semuanya baik-baik, diorang banyak bantu Izzah. Banyak buat Izzah sedar yang
hidup ini bukan untuk disia-siakan. Mereka menampal luka-luka di hati Izzah,
Mama. Izzah pernah terluka kerana seorang kawan, kawan yang selama ini Izzah
percaya. Tetapi dia menikam hebat jantung Izzah. Biarlah pengalaman pahit ini
Izzah telan sendiri. Izzah bahagia Allah hadirkan kakak-kakak yang hebat ini.
Allah tarik seorang, Allah jua yang menggantikannya semula, malah lebih baik
dan lebih ramai. Allah Maha Baik. Izzah tak pernah jadikan Allah sebagai dairy
harian Izzah sebelum ni, tapi lepas Izzah kenal Allah, Izzah tak pernah rasa
diri ini sunyi walaupun Izzah duduk sendirian. Sebab Izzah ada Allah di sisi.
Allah sahaja sumber kekuatan Izzah saat ini ”.
Seminggu
kemudian, Izzah mendapat panggilan telefon daripada teman sekolahnya. Seperti
biasa, mereka akan mengajak Izzah untuk keluar bergembira. Kali ini,
destinasinya adalah di Times Square, Kuala Lumpur. Tempat anak muda
berkumpul dan membeli-belah. Izzah tidak pernah menghadapi halangan daripada
kedua ibu bapanya untuk keluar bersama teman-teman sebayanya. Ibu bapanya tanpa
banyak kata tentu sahaja memberikan keizinan apabila dipinta.
Walaupun
keluar bergembira bersama teman-teman lama, tetapi hatinya tidak pernah
merasakan ‘gembira’ itu secara total. Berbeza dengan program-program
ilmu, meskipun kurang mendapat sambutan dan tidak meriah, tetapi hatinya tetap
merasakan kegembiraan dan kebahagiaan yang luar biasa. Mungkin naungan para
malaikat Allah yang sentiasa melebarkan sayap-sayapnya di majlis-majlis ilmu, memberikan
keindahan yang nyata mengembirakan setiap hati yang mendambakan pengisian.
Mama
dan papa, Izzah sukar memahami dua insan hebat ini. Mereka ibu dan ayah yang
sangat baik, sentiasa berusaha untuk memenuhi keperluan anak-anak mereka.
Tetapi mereka kurang memahami kehendak yang Izzah mahukan.
“Mama,
jika kerajaan adalah pimpinan yang terbaik. Mustahil mereka menganjurkan
program-program yang melalaikan anak muda. Terlalu banyak. Jika mereka
menganjurkan program-program yang bermanfaat, Izzah bersyukur tetapi Izzah akan
tetap menolak mereka. Mana mungkin program maksiat yang mereka anjurkan selama
ini boleh ditutup dengan program ilmu yang hanya sedikit cuma. Belum ditambah
lagi dengan program-program realiti yang kian membarah anak muda di zaman ini,
semuanya menyesakkan dada dan merosakkan pandangan mata. Izzah mahukan
perubahan, bukan sahaja untuk diri malah untuk generasi yang akan datang”.
Izzah bermonolog sendirian. Itu sahaja yang mampu dilakukannya.
Suatu ketika dahulu,
Izzah pernah hampir berperang lidah dengan abang kandungnya sendiri. Antara
keluar malam berjumpa dengan kawan-kawan which is kita panggil ‘melepak’
atau keluar mendengar ceramah agama yang comfirm habisnya sekitar jam 12
malam. Amran, abang kandung Izzah tetap tidak mahu mengalah. Terus menerus
mempertahankan hujahnya dengan alasan dia merupakan seorang lelaki normal yang
pulang lewat malam ke rumah berbanding diri Izzah yang merupakan seorang anak
gadis yang kurang sopan jika pulang lewat malam.
“Abang tau lah program
yang Izzah nak pergi ni semuanya bagus-bagus, tapi Izzah kene faham nanti apa
orang akan kata kalau Izzah balik lewat malam”. Amran membidas.
“Tapi abang, mana lagi better,
hang out dengan kawan atau duduk dalam majlis ilmu sampai lewat malam?”
Izzah membalas.
“Izzah, kan abang kata.
Kamu tu perempuan, abang ni lelaki! Susah sangat ke nak faham? Kamu tu baru ja
nak masuk umur 19 tahun. Abang ni dah 23 tahun! Kamu belum layak lagi nak
terlibat dengan program-program politik macam ni, sekarang ni kamu fokus
belajar sahaja. Dah, tak payah nak melawan sangat! ” marah Amran. Wajahnya
bengis.
Izzah terus menundukkan
kepalanya dan menahan sendu di hatinya. Terasa bagai hendak luruh jantungnya
mendengar nada suara Amran yang sedikit tinggi dan keras. Dia terus bangun dan
berlari menaiki anak tangga di hujung sudut rumah. Izzah seorang gadis yang
lemah di sebalik keberanian yang ada. Dia tidak mampu menerima kerasnya suara
manusia apabila bercakap di hadapan dirinya. Telinganya bagai tidak mampu
menerima lantas air mata jernih mencurah jatuh membasahi pipinya.
Saat ini, tiada siapa
yang mampu membela dirinya. Papa dan Mama juga seakan tidak mahu ikut campur
perbincangan mereka sebentar tadi. Mereka hanya mendengar dan memerhati dari
sisi rumah. Alangkah sedihnya hati.
Izzah benar-benar rasa
dirinya sendirian di dalam rumahnya. Memilik keluarga yang lengkap dengan ibu
dan ayah, abang dan kakak juga seorang adik. Tetapi masih tidak mampu memberi
kesempurnaan. Ya, manusia memang tidak mampu menjadi sempurna tetapi manusia
boleh berusaha untuk menjadi sempurna.
Di dalam sudut hati yang
paling dalam, Izzah teringin menjadi seorang muslimah yang aktif dalam
berprogram. Mana-mana program yang dianjurkan, Izzah mahu ikut serta membanting
tulang dalam menjayakannya. Jikalau boleh, dia ingin menginfakkan seluruh
keringatnya di jalan Allah. Izzah tidak suka rasa kekosongan di rumah. Tiada
suasana ilmu, yang ada hanya gelak tawa apabila menonton rancangan Maharaja
Lawak dan yang sewaktu dengannya. Bukan tidak boleh, tapi biarlah
berpada-pada.
Satu lagi keinginan Izzah
disekat. Usrah. Usrah dalam erti kata bahasa Arab disebut sebagai ‘keluarga’.
Ya. Kali ini, papa Izzah ikut campur.
“Papa, boleh tak kalau
Izzah nak join usrah?” Izzah memberanikan diri untuk bertanya.
“Kat mana tu? Bila?”
Jawab Papa ringkas tapi nampak positif.
“Kat Taman Permai, yang
rumah dekat dengan kawan baik Izzah tu, Isma namanya. Jam 9.30 malam sampai jam
11 malam, insha Allah”. Izzah menjawab dengan penuh semangat.
“Ermm… tak payah la
Izzah. Duduk kat rumah ja. Ok.” Papa berseloroh.
“Kenapa tak boleh pula
Papa? Kan program tu bagus. Papa tau kan usrah tu macam mana? Dia semak kita
punya bacaan al-Quran, tajwid kita betul ke tak, sharing masalah
kemudian cari penyelesaian. Yang paling seronok sekali ada slot tazkirah,
setiap orang akan bagi tazkirah secara bergilir-gilir”. Balas Izzah dengan
penuh pengharapan dari papanya.
“Hmm, yeke. Tapi Papa tak
suka lah anak perempuan Papa ni balik lewat-lewat malam. Tak payah lah ya.”
Jawab Papa sedikit tegas.
Sekali lagi atas alasan
yang sama. Anak perempuan dilarang pulang lewat ke rumah. Izzah kecewa. Dia
tidak berani membidas kata-kata ayahnya yang sangat dia hormati. Sekali
jawapanya tidak, akan tetap tidak selamanya. Itulah Papa. Tetapi, Papa tetap
seorang yang baik hati dan penyayang.
Terkadang, Izzah bimbang
andai suatu hari nanti dia menjadi seorang remaja yang sentiasa memberontak
apabila segala kemahuannya tidak dituruti. Itulah yang sering terjadi apabila
kemahuan remaja disekat oleh ibu bapa sendiri. Ada yang lari daripada rumah,
pukul sana, pukul sini, conteng sana, conteng sini, rosakkan itu ,rosakkan ini
dan macam-macam lagi. Allahu Akbar. Semoga Allah Yang Maha Hebat akan terus
menjaga Izzah daripada melakukan perkara-perkara yang tidak sepatutnya
“ Allah, Izzah rindu sangat kat Allah. Allah,
tinggikan lagi tahap kesabaran Izzah ya? InshaAllah, Izzah boleh bertahan. Izzah
tahu semua ni mesti ada hikmah. Dan Allah tahu apa yang terbaik untuk diri
Izzah kan? Izzah tak mahu jadi anak derhaka, suka lawan kata mama dan papa.
Tapi terkadang Izzah terbuat juga, Allah. Izzah minta maaf sangat-sangat.
Berilah Izzah kekuatan untuk hadapi semua ni. Allah jangan tinggalkan Izzah ye...isk..isk..sik..“
Malam yang sunyi dihiasi
dengan tangisan Izzah kepada Sang Pencipta. Izzah mengadu sepuas-puasnya pada
Allah swt. Allah lah segala-galanya. Dalam sudut hati yang paling dalam,
terkadang Izzah rasa cemburu melihat sahabat-sahabat yang membesar dalam sebuah
keluarga Jemaah. Bersama-sama memikul amanah perjuangan Islam, bersama-sama
bergerak aktif dalam apa jua program Islam. Masha Allah, semoga Allah berkati
kalian. Barakallah ..
.: Fatin Farhana Bt Muntasir :.
Wangsa Maju, Kuala Lumpur
No comments:
Post a Comment