Followers

Thursday, February 14, 2013

Penantian Kebebasan


            Nurul Izzah Bt Ahmad. Sebuah nama yang sangat indah untuk disebut, Cahaya Ketinggian. Izzah dilahirkan dalam sebuah keluarga golongan sederhana. Membesar dalam sebuah Kota Metropolitan yang penuh cabaran. Kini usianya genap 20 tahun.

            Sedari kecil, Izzah mempunyai keinginan yang sangat tinggi. Seorang gadis kecil yang mempunyai keberanian yang luar biasa. Meskipun mempunyai ibu bapa yang tidak sefikrah dengannya, namun dirinya masih mampu bertahan.

            “Mama, kenapa kakak tak boleh pergi besok?” Izzah bertanya kepada mamanya.

            “Mama kata tak boleh, tak boleh la. Mama tak nak kamu bergaul dengan kakak-kakak tudung labuh tu” Mama berpaling menuju ke dapur.

            “Tapi mama, Izzah bukannya pergi ke program yang tak elok. Izzah pergi program-program ilmu. Izzah suka program-program yang macam ni” Izzah tak mahu mengalah.

“Mama tak nak anak Mama terlibat dalam program-program politik, politik semuanya tak bagus. Full stop!”  Izzah tidak mampu untuk meneruskan kata-katanya lagi.

              Mamanya tahu anaknya pasti akan pergi ke program yang baik dan bermanfaat. Tetapi satu sahaja yang tidak berkenan dihatinya, semua program yang anaknya mahu ikuti, adalah program-program anjuran Parti Pembangkang. Dia seakan allergic apabila mendengar nama parti itu disebut-sebut. Entah kenapa, dalam hatinya sentiasa merasakan pimpinan kerajaan adalah yang terbaik. Sejak kecil, arwah ayahnya cukup aktif dalam mesyuarat dan program-program kerajaan.

            Izzah duduk termangu di atas katil. Sudah hampir 2 jam dia berkurung di dalam biliknya. Air matanya tidak mampu ditahan lagi. Hatinya merintih sendirian.

            “Mama, kenapa Mama cukup tak suka Izzah berkawan dengan kakak-kakak tu? Kakak-kakak tu semuanya baik-baik, diorang banyak bantu Izzah. Banyak buat Izzah sedar yang hidup ini bukan untuk disia-siakan. Mereka menampal luka-luka di hati Izzah, Mama. Izzah pernah terluka kerana seorang kawan, kawan yang selama ini Izzah percaya. Tetapi dia menikam hebat jantung Izzah. Biarlah pengalaman pahit ini Izzah telan sendiri. Izzah bahagia Allah hadirkan kakak-kakak yang hebat ini. Allah tarik seorang, Allah jua yang menggantikannya semula, malah lebih baik dan lebih ramai. Allah Maha Baik. Izzah tak pernah jadikan Allah sebagai dairy harian Izzah sebelum ni, tapi lepas Izzah kenal Allah, Izzah tak pernah rasa diri ini sunyi walaupun Izzah duduk sendirian. Sebab Izzah ada Allah di sisi. Allah sahaja sumber kekuatan Izzah saat ini ”.

            Seminggu kemudian, Izzah mendapat panggilan telefon daripada teman sekolahnya. Seperti biasa, mereka akan mengajak Izzah untuk keluar bergembira. Kali ini, destinasinya adalah di Times Square, Kuala Lumpur. Tempat anak muda berkumpul dan membeli-belah. Izzah tidak pernah menghadapi halangan daripada kedua ibu bapanya untuk keluar bersama teman-teman sebayanya. Ibu bapanya tanpa banyak kata tentu sahaja memberikan keizinan apabila dipinta.

            Walaupun keluar bergembira bersama teman-teman lama, tetapi hatinya tidak pernah merasakan ‘gembira’ itu secara total. Berbeza dengan program-program ilmu, meskipun kurang mendapat sambutan dan tidak meriah, tetapi hatinya tetap merasakan kegembiraan dan kebahagiaan yang luar biasa. Mungkin naungan para malaikat Allah yang sentiasa melebarkan sayap-sayapnya di majlis-majlis ilmu, memberikan keindahan yang nyata mengembirakan setiap hati yang mendambakan pengisian.

            Mama dan papa, Izzah sukar memahami dua insan hebat ini. Mereka ibu dan ayah yang sangat baik, sentiasa berusaha untuk memenuhi keperluan anak-anak mereka. Tetapi mereka kurang memahami kehendak yang Izzah mahukan.

            “Mama, jika kerajaan adalah pimpinan yang terbaik. Mustahil mereka menganjurkan program-program yang melalaikan anak muda. Terlalu banyak. Jika mereka menganjurkan program-program yang bermanfaat, Izzah bersyukur tetapi Izzah akan tetap menolak mereka. Mana mungkin program maksiat yang mereka anjurkan selama ini boleh ditutup dengan program ilmu yang hanya sedikit cuma. Belum ditambah lagi dengan program-program realiti yang kian membarah anak muda di zaman ini, semuanya menyesakkan dada dan merosakkan pandangan mata. Izzah mahukan perubahan, bukan sahaja untuk diri malah untuk generasi yang akan datang”. Izzah bermonolog sendirian. Itu sahaja yang mampu dilakukannya.

Suatu ketika dahulu, Izzah pernah hampir berperang lidah dengan abang kandungnya sendiri. Antara keluar malam berjumpa dengan kawan-kawan which is kita panggil ‘melepak’ atau keluar mendengar ceramah agama yang comfirm habisnya sekitar jam 12 malam. Amran, abang kandung Izzah tetap tidak mahu mengalah. Terus menerus mempertahankan hujahnya dengan alasan dia merupakan seorang lelaki normal yang pulang lewat malam ke rumah berbanding diri Izzah yang merupakan seorang anak gadis yang kurang sopan jika pulang lewat malam.

“Abang tau lah program yang Izzah nak pergi ni semuanya bagus-bagus, tapi Izzah kene faham nanti apa orang akan kata kalau Izzah balik lewat malam”. Amran membidas.

“Tapi abang, mana lagi better, hang out dengan kawan atau duduk dalam majlis ilmu sampai lewat malam?” Izzah membalas.

“Izzah, kan abang kata. Kamu tu perempuan, abang ni lelaki! Susah sangat ke nak faham? Kamu tu baru ja nak masuk umur 19 tahun. Abang ni dah 23 tahun! Kamu belum layak lagi nak terlibat dengan program-program politik macam ni, sekarang ni kamu fokus belajar sahaja. Dah, tak payah nak melawan sangat! ” marah Amran. Wajahnya bengis.

Izzah terus menundukkan kepalanya dan menahan sendu di hatinya. Terasa bagai hendak luruh jantungnya mendengar nada suara Amran yang sedikit tinggi dan keras. Dia terus bangun dan berlari menaiki anak tangga di hujung sudut rumah. Izzah seorang gadis yang lemah di sebalik keberanian yang ada. Dia tidak mampu menerima kerasnya suara manusia apabila bercakap di hadapan dirinya. Telinganya bagai tidak mampu menerima lantas air mata jernih mencurah jatuh membasahi pipinya.

Saat ini, tiada siapa yang mampu membela dirinya. Papa dan Mama juga seakan tidak mahu ikut campur perbincangan mereka sebentar tadi. Mereka hanya mendengar dan memerhati dari sisi rumah. Alangkah sedihnya hati.

Izzah benar-benar rasa dirinya sendirian di dalam rumahnya. Memilik keluarga yang lengkap dengan ibu dan ayah, abang dan kakak juga seorang adik. Tetapi masih tidak mampu memberi kesempurnaan. Ya, manusia memang tidak mampu menjadi sempurna tetapi manusia boleh berusaha untuk menjadi sempurna.

Di dalam sudut hati yang paling dalam, Izzah teringin menjadi seorang muslimah yang aktif dalam berprogram. Mana-mana program yang dianjurkan, Izzah mahu ikut serta membanting tulang dalam menjayakannya. Jikalau boleh, dia ingin menginfakkan seluruh keringatnya di jalan Allah. Izzah tidak suka rasa kekosongan di rumah. Tiada suasana ilmu, yang ada hanya gelak tawa apabila menonton rancangan Maharaja Lawak dan yang sewaktu dengannya. Bukan tidak boleh, tapi biarlah berpada-pada.

Satu lagi keinginan Izzah disekat. Usrah. Usrah dalam erti kata bahasa Arab disebut sebagai ‘keluarga’. Ya. Kali ini, papa Izzah ikut campur.

“Papa, boleh tak kalau Izzah nak join usrah?” Izzah memberanikan diri untuk bertanya.

“Kat mana tu? Bila?” Jawab Papa ringkas tapi nampak positif.

“Kat Taman Permai, yang rumah dekat dengan kawan baik Izzah tu, Isma namanya. Jam 9.30 malam sampai jam 11 malam, insha Allah”. Izzah menjawab dengan penuh semangat.

“Ermm… tak payah la Izzah. Duduk kat rumah ja. Ok.” Papa berseloroh.

“Kenapa tak boleh pula Papa? Kan program tu bagus. Papa tau kan usrah tu macam mana? Dia semak kita punya bacaan al-Quran, tajwid kita betul ke tak, sharing masalah kemudian cari penyelesaian. Yang paling seronok sekali ada slot tazkirah, setiap orang akan bagi tazkirah secara bergilir-gilir”. Balas Izzah dengan penuh pengharapan dari papanya.

“Hmm, yeke. Tapi Papa tak suka lah anak perempuan Papa ni balik lewat-lewat malam. Tak payah lah ya.” Jawab Papa sedikit tegas.

Sekali lagi atas alasan yang sama. Anak perempuan dilarang pulang lewat ke rumah. Izzah kecewa. Dia tidak berani membidas kata-kata ayahnya yang sangat dia hormati. Sekali jawapanya tidak, akan tetap tidak selamanya. Itulah Papa. Tetapi, Papa tetap seorang yang baik hati dan penyayang.

Terkadang, Izzah bimbang andai suatu hari nanti dia menjadi seorang remaja yang sentiasa memberontak apabila segala kemahuannya tidak dituruti. Itulah yang sering terjadi apabila kemahuan remaja disekat oleh ibu bapa sendiri. Ada yang lari daripada rumah, pukul sana, pukul sini, conteng sana, conteng sini, rosakkan itu ,rosakkan ini dan macam-macam lagi. Allahu Akbar. Semoga Allah Yang Maha Hebat akan terus menjaga Izzah daripada melakukan perkara-perkara yang tidak sepatutnya

 “ Allah, Izzah rindu sangat kat Allah. Allah, tinggikan lagi tahap kesabaran Izzah ya? InshaAllah, Izzah boleh bertahan. Izzah tahu semua ni mesti ada hikmah. Dan Allah tahu apa yang terbaik untuk diri Izzah kan? Izzah tak mahu jadi anak derhaka, suka lawan kata mama dan papa. Tapi terkadang Izzah terbuat juga, Allah. Izzah minta maaf sangat-sangat. Berilah Izzah kekuatan untuk hadapi semua ni. Allah jangan tinggalkan Izzah ye...isk..isk..sik..“

Malam yang sunyi dihiasi dengan tangisan Izzah kepada Sang Pencipta. Izzah mengadu sepuas-puasnya pada Allah swt. Allah lah segala-galanya. Dalam sudut hati yang paling dalam, terkadang Izzah rasa cemburu melihat sahabat-sahabat yang membesar dalam sebuah keluarga Jemaah. Bersama-sama memikul amanah perjuangan Islam, bersama-sama bergerak aktif dalam apa jua program Islam. Masha Allah, semoga Allah berkati kalian. Barakallah ..

.: Fatin Farhana Bt Muntasir :.
Wangsa Maju, Kuala Lumpur

Tuesday, September 4, 2012

Makna Hati


Sabda Rasulullah saw yang bermaksud;

“ Sesungguhnya dalam tubuh manusia itu ada segumpal darah. Jika ia baik, maka baiklah keseluruhan anggotanya, dan jika ia rosak, maka rosaklah keseluruhan anggotanya. Ketahuilah yang segumpal darah itu sebenarnya adalah HATI. “

Hadis ni sebenarnya menunjukkan bahawa hati itu satu tempat yang mana menjadi pangkal permulaan kepada sesuatu.

Ok, cuba kita renungkan kembali dalam persoalan niat. Masa kita nak kerjakan solat, kita semua disuruh untuk berniat kan? dimanakah tempat niat tu? Kat dalam HATI kan? Kan selalu orang kata, setiap apa yang kita nak lakukan tu, semuanya bermula dengan niat. Bila nak niat je, mesti kat dalam HATI J 

Jadi, hati ni sememangnya menjadi pangkal permulaan kepada sesuatu perkara.

Daripada Abu Hurairah r.a berkata, hati ini ibarat raja, dan seluruh anggota tubuhnya pula adalah pasukannya. Jika rajanya baik, maka baiklah pula pasukannya. Jika rajanya buruk, maka buruklah pula pasukannya. Jika engkau dianugerahi pandangan, tentu engkau tahu bahawa rosaknya para pengikutmu adalah kerana kerosakan yang ada dalam dirimu dan kebaikan mereka adalah kerana kebaikan yang ada dalam dirimu.

Sebenarnya sedar atau tak, bila kita buat kerosakan pada diri kita sendiri, kita sering melemparkan kesalahan kita ni kepada mata yang tak bersalah.

Sedangkan, sumber bencana yang menimpa diri kita ni ialah kerana kita sendiri yang  tidak memiliki cinta kepada Allah, yang tidak menyukai zikir kepada-Nya, yang tidak menyukai firman-firmannya, yang tidak menyukai asma’ dan sifat-sifatnya. Kita beralih kepada yang lain dan berpaling dari Allah. Kita berganti mencintai selain dari-Nya.

Hati kita mencari makhluk untuk dicintai dan kebiasaannya makhluk yang kita cari tu, adalah siapa? Adalah seorang LELAKI. Hati rasa ingin mencintai dan dicintai. Calling, dating, sms yang sia-sia dan sebagainya.

Tetapi, sebenarnya sedar tak kita sedikit demi sedikit, kita dah kotorkan hati kita. Kita kotorkan ia dengan maksiat hati yang kita lakukan. Kita lalai dengan cinta yang tak pasti kesudahannya bagaimana. Maka apabila hati kita dah jadi kotor, dosa pun dah jadi biasa, maksiat pun makin berleluasa. Semuanya gara-gara sekeping hati yang dah pun bertukar wajah.

Kata al-Imam Ghazali,

'Carilah hatimu di tiga tempat. Temui hatimu sewaktu bangun membaca Al Quran. Tetapi jika tidak kau temui, carilah hatimu ketika mengerjakan solat. Jika tidak kau temui juga, kau carilah hatimu ketika duduk tafakkur mengingati mati. Jika kau tidak temui juga, maka berdoalah kepada Allah, pinta hati yang baru kerana hakikatnya pada ketika itu kau tidak mempunyai hati!'

Cara nak bersihkan hati ialah dengan mengisi hati ini dengan perkara-perkara akhirat sedikit demi sedikit. InsyaAllah lama-lama ledak kotoran dunia yang ada kat dalam hati ni akan keluar. Banyakkan beribadah dan muhasabah diri.  

Moga Allah sentiasa memelihara hati ini dan terus berada di jalannya. Wallahu’alam bswb


.: Fatin Farhana Bt Muntasir :.
Ampang, Kuala Lumpur

Monday, May 21, 2012

Kisah Antara Cinta & Suka


Di suatu pagi nan indah, aku bersama keluarga ku berada di sebuah IPT. Hari ini merupakan hari pertama aku menjejakkan kaki ke alam yang lebih mencabar. Aku akan mendaftarkan diri sebagai seorang mahasiswi dalam bidang kejuruteraan awam. Bidang yang agak mencabar bagi diriku. Tetapi aku tetap dengan cita-citaku untuk menjadi seorang mahasiswi yang berjaya lantas menjadi seorang jurutera bangunan, bukan sahaja bangunan konkrit, malah jurutera bagi pembangunan ummah. Ya! Itulah cita-citaku.

Dalam langkahan kaki ku yang kelihatan penuh semangat ini, tiba-tiba aku terlihat seorang muslimin. Gaya macam 'senior' sahaja. Daripada segi fizikalnya, dia kelihatan kemas dan intelektual. Lantas aku menjadi kagum melihatnya. Tanpa melengahkan masa, aku berlalu dari situ dan menuju ke kolej kediaman ku. Banyak yang perlu dikemas. Habuk dan debu masya Allah.

Setelah seminggu aku memulakan kuliah, hari-hari ku menjadi semakin mencabar. Jadual kuliah yang padat menjadikan aku mahasiswi yang sangat 'busy' dengan segala assignment daripada pensyarah-pensyarah ku.
Aku tak dapat bayangkan sekiranya aku memegang sebarang jawatan dalam sesebuah organisasi, tentu aku tidak dapat memberikan sepenuh tumpuan dalam pelajaran, malah banyak pula assignment yang akan tertangguh.



Sangkaan ku meleset sama sekali, aku akhirnya tertarik untuk menjadi salah seorang ahli dalam sebuah badan dakwah di situ. Pada mulanya, jujur aku sangat berminat dan mencari-cari badan dakwah yang ada di
IPT ini. Tetapi memandangkan jadual kuliah yang terlalu padat, aku membatalkan niatku.

Aku akhirnya memegang satu jawatan yang agak mencabar bagiku. Jawatan yang ku rasakan sangat berat untuk dilaksanakan, tetapi kerana Allah aku dipilih, aku akan laksanakannya sebaik mungkin. Aku lebih banyak berkongsi cerita dan pengalaman kepada rakan-rakan ku. Itulah caraku dalam melaksanakan tugasku.

Aku ini tidaklah sehebat mana, aku bukan seorang yang mampu berhujah dengan hadis dan al-Quran, tetapi aku cuba sabaik mungkin untuk kongsikan apa yang telah aku pelajari ketika di bangku sekolah dahulu. Ustaz & ustazah ku banyak mengajar dan membantu ku untuk lebih memahami tafsirul Quran. Terima kasih ustaz dan ustazah kerana telah mengajar aku yang sangat lemah ini. Alhamdulillah ku panjatkan segala pujian hanya untuk Dia yang teristimewa.

Di suatu petang yang mataharinya menyinar sepoi-sepoi bahasa, aku berjalan bersama kawan-kawanku menuju ke musolla. Pada setiap hari khamis, kami akan mengadakan usrah atau lebih dikenali sebagai bulatan gembira di koridor masjid. Dalam kekhusyukan mendengar tazkirah daripada naqibah ku, tiba-tiba aku terpandang akan seorang muslimin yang pernah aku lihat sebelum ini. Ya! Dialah muslimin yang aku pernah katakan kemas dan intelektual itu.

Muslimin itu sedang sibuk menolak tirai-tirai yang memisahkan antara bahagian muslimin dan muslimat memandangkan esok adalah hari Jumaat. Para jemaah lelaki akan berpusu-pusu ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat di sini. Tiba-tiba, jantungku berdegup kencang dengan tidak semena-mena. "Oh tidak, kenapa ni? Tak kanlah aku jatuh cinta pandang kedua kot? " bisik hati kecil ku.

Aku terus melarikan pandangan dan kembali memberikan tumpuan kepada naqibahku. Tetapi fikiran ku masih lagi melayang entah ke mana. Syaitan mula memainkan peranannya dengan membisikkan pelbagai bisikan agar aku memandang kembali muslimin tersebut. Dengan sekuat hati, aku menjerit di dalam hati, " Ya Allah, kuatkan aku! Aku tak nak pandang dia lagi! ".


Selang beberapa hari, seorang kakak senior datang menghampiriku. Aku memanggilnya dengan nama singkatannya, Kak Ecah. Dia seorang yang sangat cantik pada pandanganku, lemah lembut dalam tutur kata dan juga perbuatannya. Aku sangat senang bersama dengan dia. Dalam pada kami berbual, tiba-tiba Kak Ecah memberitahu ku bahawa wajah aku mirip dengan seorang muslimin di situ. Dia berkerja keras mengingati nama muslimin tersebut, dan akhirnya dia menyebut, " Ha..akak dah ingat! Nama dia Farhan ". Aku hanya tersenyum memandangnya.

Jujur aku tidak mengenali nama muslimin yang disebutkannya. Aku mula membayangkan alangkah indahnya jika muslimin itu adalah muslimin yang aku lihat tempoh hari. Macam kisah yang selalu aku baca dalam novel dan artikel.  "Astaghfirullah al azim.." Aku tersentak dari lamunan ku. Nah! Inilah bahana terlalu banyak membaca kisah cinta "islamik". Bukan tidak boleh, tetapi jangan sampai melalaikan diri sendiri seperti apa yang sudah aku lakukan tadi.

Sejak kejadian tempoh hari, aku semakin kerap pula terserempak dengan muslimin tersebut. Boleh dikatakan setiap pagi sebelum ke dewan kuliah, aku pasti akan terlihat dia yang turut sama berjalan untuk ke kuliah pada pagi itu. Aku semakin bingung, bila sahaja terlihat dia, jantungku menjadi-jadi pula debarannya. Aku tidak selesa dengan keadaan ini. Aku tidak selesa dengan perasaan ini.

Aku menjadi semakin suka pada muslimin tersebut apabila kawan-kawanku sering meng'gosip'kan aku dengan muslimin tersebut. Mereka sering memberitahuku yang muslimin tersebut seorang yang sangat pandai dalam pelajarannya, sangat pemalu dan rajin orangya. Dan yang lebih menambahkan perisa kesukaan aku terhadapnya, apabila muslimin itulah yang pernah Kak Ecah beritahuku tempoh hari. Ya, dialah Farhan yang memiliki wajah semirip denganku. Tapi bagiku, wajahnya jauh berbeza dari wajahku.


Aku mula memikirkannya secara serius, antara cinta dan suka, yang mana satu lebih dekat denganku. Secara peribadinya, bagiku cinta dan rasa suka itu ada beza antara keduanya. Cinta padaku satu rasa yang mampu membuatkan diri dibuai pelbagai angan-angan, bak kata orang, tidur tak lena, mandi tak basah. Asyik memikirkan si dia di kala melakukan apa jua aktiviti. Bila terdengar lagu cinta, fikiran pantas teringatkan si dia. Apa pun hanyalah si dia sehingga tidak nampak sekelumit keburukan pun padanya.

Mungkin aku hanya suka pada Farhan. Ya, aku pasti itu! Aku suka akan akhlak dan peribadinya yang sederhana. Aku suka apabila dia pandai menjaga pandangannya. Berjalan tunduk dan tidak banyak berbicara. Bukan hanya dia seorang, malah mana-mana muslimin yang mempunyai akhlak serupa dia juga turut aku suka. Alhamdulillah mujur hanya suka, aku bimbang perasaan ku berubah sampai ke tahap cinta.

Setelah beberapa hari aku memuhasabah diriku, aku kembali 'normal' seperti sedia kala. Aku tidak lagi merasa jantungku berdegup kencang apabila bertemu dengannya. Aku selalu berdoa agar Allah sentiasa menjaga hatiku dan aku belajar untuk lebih menjaga pandanganku. Semuanya bermula dengan pandangan.
Tidak aku nafikan, perasaan berdebar itu sentiasa hadir apabila aku bertemu dengan mana-mana muslimin. Jauh sekali untuk aku katakan yang aku jatuh cinta pada semua muslimin yang ada di situ.

Hari-hari ku berlalu dengan lebih tenang dan bahagia. Aku semakin bijak membahagikan masaku untuk menelaah pelajaran dan bergerak aktif dalam organisasi ku. Malah, aku masih punya waktu untuk bersukan di waktu petang. Apabila aku keletihan menjalani aktiviti seharian, aku selalu ingat akan pesanan Dia yang teristimewa di hati, " apabila kita membantu agama Allah, Allah pasti akan membantu kita kembali ".


Cintaku hanya untuk Allah dan Rasul Nya. Biarpun aku seorang yang mudah suka pada seseorang tetapi aku tidak mudah untuk jatuh cinta pada seseorang dan perkara itu sangat sukar bagiku. Moga Allah sudi memelihara cintaku ini. Aminn..

***


: cerpen ini tidak berkait dengan mana-mana insan termasuk penulis.
: perkara yang nak ditekankan ialah perbezaan antara cinta dan sukamaka terhasillah kisah di atas ini :)


.: Fatin Farhana :.
Ampang, Kuala Lumpur