Dalam suatu perjalanan, Imam Ghazali dan kafilahnya telah ditahan oleh segerombolan perompak.
Seluruh barang dan harta benda mereka dirampas.
Imam Ghazali memohon dengan rendah hati kepada ketua perompak itu agar dikembalikan semula begnya yang berisi kitab-kitab.
Kata Imam Ghazali, dia menyayangi kitab-kitab tersebut.
Ketua perompak itu bertanya. "Apakah isi kitab-kitab ini?"
Imam Ghazali menjawab, "Ilmu".
Ketua perompak bertanya lagi, "Kalau kitab ini hilang, bererti hilanglah ilmu?"
Balas Imam Ghazali, "Ya. Kalau kitab ini hilang, bererti hilanglah ilmu.
Kerana itu aku amat menyayangi kitab-kitabku ini."
Ketua perompak itu memandang wajah Imam Ghazali, kemudian menyoalnya,
"Apakah harganya ilmu yang hanya berada di dalam kitab?"
Kata-kata perompak itu benar-benar membuatkan Imam Ghazali terkejut.
Ia menyedarkan beliau tentang sesuatu perkara penting yang selama ini diabaikannya.
Sejak itulah Imam Ghazali menghafal seluruh ilmu di dalam kitab-kitab miliknya.