Followers

Thursday, May 8, 2014

Sakit-Sakit Sikit!

"Harini nak pergi UiTM"

Helaian kertas dihadapan dipandang sekilas, semak apa yang perlu disemak. Sebelum hantar kiub-kiub konkrit untuk ditimbang nanti. Selesai sahaja membuat semakan.

Tiba-tiba.. 

"Allah.." bahagian pinggang terasa berat. "Eh, kenapa ni, awat badan rasa lemah semacam je ni, tak kanlah nak demam kot..". Lupakan, dan terus bersiap-siap untuk ke UiTM Shah Alam. Sebelum tu singgah ke makmal konkrit, ambil kiub-kiub konkrit yang dah cukup umur. 

"Allah, letihnya rasa.. kenapa badan ni rasa lemah sangat ni?" Dalam hati, berdoa moga-moga Allah sudi berikan sedikit kekuatan. Ada tugasan yang perlu dilaksanakan harini. Mesti siap. Tapi rasa sedih, mungkin kekuatan harini tak seperti hari-hari yang lain. Kasihan sahabat projek saya, nanti diorang ja yang buat kerja-kerja mengangkat konkrit ni. 

Dalam perjalanan ke UiTM, kepala rasa berat dan pening-pening. Tapi cuba lawan juga. 

Di UiTM, perkara yang tak nak terjadi, terjadi jua. Mereka yang mengangkat konkrit-konkrit itu, sedang diri ini hanya mampu melihat sahaja. Sedih. Jadi tukang catat maklumat sahaja yang mampu dilakukan. Maafkan saya sahabat. 

Petang, badan jadi lemah dan semakin lemah. Suhu badan naik mendadak. Panas sangat. Sampai sahabat saya yang juga merupakan jiran blok saya. Dia yang menjaga saya. Lap dan tuam air ke seluruh anggota. Terharu, sebak. Tapi tak boleh nak buat apa-apa, hanya mampu memejamkan mata. Rasa sakit seluruh anggota. Rasa lenguh. Bertahan dan terus bertahan. Selera makan hilang. Air kosong yang menjadi kesukaan tidak lagi disentuh. 

Adik saya yang juga teman sebilik saya membantu apa yang perlu. Walaupun terkadang dirinya seakan buntu untuk membantu. Lucu, mungkin kerana perbezaan usia menjadikan dia agak sedikit pemalu. Terharu, moga Allah membalasnya. Niat untuk berjemaah di surau, dibatalkan. Rasa nak pitam bila berdiri. Lalu, solat sahaja secara duduk, berimamkan sahabat saya yang seorang lagi. Terima kasih, sahabat. Dapat juga pahala berjemaah. :') 

Malam kian berlalu, dia tetap setia disisi, mengelap saya di setiap anggota. Program tadarus di surau, terpaksa ditinggalkan. Maafkan saya sahabat-sahabat. Dalam separa sedar, saya sedar mereka datang. Ziarah tanda kasih sesama Muslim. Hak keatas Muslim yang lain, ziarah tika sahabat sakit. Terharu lagi.

Keesokannya, bangun dan bersedia untuk ke kelas. Tapi sayang, kembali pitam di dalam tandas. Hampir sahaja rebah. Suhu badan masih sama, tidak surut. Kembali berehat dan terbaring di bilik. Tidur dan terus tidur. Bangun hanya untuk menunaikan solat, kemudian kembali tidur. Badan saya, sungguh rasa begitu lemah sekali. Tidak terdaya.Tangan pantas mencapai telefon bimbit. Mesej dihantar dan dengan pantas dihubungi kembali. Malam itu, mereka datang mahu mengambil saya pulang. Sungguh hebat mereka itu. Terpancar sinar kasih daripada mak dan abah terhadap anakmu ini. Maaf, kerana telah menyusahkan.

Malam itu, hari Khamis. Semua pelajar diwajibkan untuk turun ke Pusat Islam. Menjadi aktiviti wajib bagi seluruh pelajar yang tinggal di kolej untuk turun berjemaah. Tetapi malam itu, jasad ini kekal di perbaringan. Tidak mampu untuk bergerak banyak. Ada seorang lagi sahabat yang sudi menemani. Walau dalam keadaan gelap, dia tetap setia di sisi. Sungguh lucu bila sahaja terkenangkan dia. Suasana gelap, kolej 'blackout' seketika. Tujuannya, agar tiada pelajar yang bersembunyi di dalam bilik asbab tidak mahu turun ke Pusat Islam. 

Asbab gelap itu juga, sahabat saya menjadi kurang berani untuk ke bilik basuh berseorangan. Niatnya adalah untuk membantu menuam air di dahi saya. Sungguh baik. Dia pergi tetapi kembali berpatah balik menemui saya. Aduhai lucunya. Saya menggagahkan diri untuk menemaninya. Saya berjalan di hadapan, dia dibelakang. Apabila mahu pulang ke bilik, saya pula dibelakang sedang dia pula di hadapan saya. Hehe, lucu. Ketakutan itu perlu ada, tetapi hanya pada Dia. :)

Usai sahaja solat, mak dan abah sampai. Sahabat saya yang tadi turut menemani saya ke klinik. Kata doktor, hanya demam panas. Dibekalkan ubat mengikut prosedur dan diberi cuti pada hari Khamis dan Jumaat. 

dan apabila aku sakit,
Dia lah yang menyembuhkan aku.
[26:80]

Selepas beberapa hari, suhu badan kian surut. Tetapi sendi-sendi saya kekal lemah. Kulit menjadi kering dan sakit. Tapak tangan dan bahagian kaki menjadi gatal-gatal dan bisa. Sahabat-sahabat saya setia memberikan perkhidmatan yang terbaik. Mereka mengurut tangan, kaki dan bahagian anggota-anggota saya yang lainnya. Seakan-akan berada di 'pusat urut' pula. Hehe. Terharu. Tidak mungkin saya lupa saat itu. Sahabat yang tika gembira di sisi, tika sakit juga tetap kekal di sisi. Benarlah kata pepatah, kita hanya akan kenali sahabat apabila diri ditimpa musibah. Sahabat yang baik, senang bersama, susah juga kekal bersama. Terima kasih kalian.

Tetapi, pitam saya makin menjadi-jadi. Hampir sahaja rebah di bilik air Pusat Islam. Alhamdulillah, mujur ada sahabat. Setia menanti saya diluar pintu bilik air. Dunia seakan-akan gelap dan badan menjadi begitu berat. Rebah jua akhirnya. Tika saya hampir jatuh, ada banyak tangan yang memaut. Memaut lengan dan mengangkat saya. Saya sedar tetapi hanya mampu memerhati. Kepala terasa berat. Rupanya inilah rasanya pitam. Dahulu saya pernah tertanya-tanya, bagaimana agaknya pitam itu. Akhirnya, Allah swt berikan rasa itu pada diri, Alhamdulillah. Pengalaman menempa kematangan.

Pergi ke klinik buat kali kedua. Doktor mengeluarkan surat rujukan untuk diadakan ujian darah. Jalani pemeriksaan lanjut. Sakit saya sudah menjangkau 6 hari. 

Usai sahaja jalani pemeriksaan darah di klinik kerajaan. Doktor mengesahkan demam denggi dan dehidrasi. Kandungan air di dalam badan terlalu rendah. Punca kulit menjadi kering dan bisa. Dia lantas membuat surat rujukan untuk dihantar ke hospital. Tidak semena-mena disuruh untuk menaiki kereta ambulan. Tangan kiri dicucuk air sedang tangan kanan memegang botol air tersebut. Muka saya menjadi pucat. Tak sangka sedrastik ini. Pertama kali. 

Sahabat-sahabat saya yang menemani, turut terkejut. Hampir sahaja mereka ingin menemani saya dalam kereta ambulan tersebut. Tetapi dilarang oleh pegawai perubatan di situ. Ah, terharu lagi. Terima kasih sahabat, atas keperihatinan kalian. Dalam ambulan, saya maklumkan pada mak dan abah. Nyata, mereka jua terkejut. Kata abah, dia menangis. Mungkin kerana terlalu risau. Hehe. Sedang saya, masih terkejut berada di dalam ambulan itu. Pemanduannya cukup membimbangkan. Laju, pheww~begini rasanya berada di dalam kereta ambulan. Pengalaman lagi, alhamdulillah.

Setibanya di hospital, dimasukkan ke ruang kecemasan. Di situ, perasaan gerun menjelma. Di situ, saya mendengar jeritan dan esak tangis para pesakit lain. Luka-luka mereka dicuci. Sakitnya tak dapat dibayangkan. Di situ, mereka yang kemalangan jalan raya turut ada. Muka berdarah, kaki terseliuh dan sebagainya. Ngeri. Perit. Subhanallah, pengalaman yang hebat sekali. Menjadikan diri lebih bersyukur, hanya denggi biasa.

Pengalaman menempa kematangan. Eh! ;)

Kemudian, bergerak ke ruang menunggu bagi mendapatkan katil. Hampir 2 jam menunggu, perut sudah menuntut haknya. Sementara menunggu panggilan daripada jururawat di situ, saya dan dua orang sahabat tadi pergi ke kafeteria. Mereka jua lapar. Letih menempuh jalanraya yang sesak diwaktu petang, ditambah lagi dengan sesat semasa dalam perjalanan mencari hospital tersebut. Terima kasih kerana sentiasa di sisi. Tidak mungkin saya dapat membalasnya.

Lewat jam 12 malam. Akhirnya berjaya mendapatkan katil sendiri. Syukur ditempatkan di dalam sebuah bilik yang mempunyai 6 orang pesakit. Kesemuanya muslimah. Mujur tak dapat katil di bahagian luar. Asbab ramai sangat yang terkena demam denggi, ada sebahagian pesakit yang duduk di bahagian luar. Kasihan melihat mereka. Aurat tidak lagi dijaga. Saya hanya mampu melihat, tidak mampu untuk bergerak banyak. Tika itu, mak dan abah telah pun pulang ke rumah. Dua orang sahabat saya juga telah pulang dengan lebih awal. Kini, saya sendirian.

Jam menunjukkan 4.20 pagi. Saya terjaga asbab ada seorang doktor lelaki dihadapan katil. Dia meminta izin untuk mengambil sampel darah. Sakit. Darah diambil dua kali. Kekurangan darah katanya. Pesakit-pesakit yang lain juga sama, diambil darahnya. Rupa-rupanya, semua pesakit disitu juga dijangkiti demam denggi. Mereka sudah berminggu-minggu disitu. Wajah mereka ceria sentiasa, cuma terkadang menahan sakit tika diambil darah.

Ya, memang sakit dicucuk setiap empat jam. Sakit yang tadi baru sahaja hendak kebah, kemudian sakit lagi. Pada mulanya, saya sedih menanggung kesakitan ini. Kata mak, mungkin saya tidak pernah merasai kesakitan yang luar biasa. Tambahnya lagi, pengalaman melahirkan anak lebih sakit dari segalanya. Saya kembali muhasabah. Ya, sakit ini cuma biasa-biasa. Apalah sangat dicucuk jarum yang halus itu. Terima kasih mak, untuk peringatan ini.

"Nak jadi Dai'e, mana boleh cepat lemah. Tak kanlah sakit sikit nak menangis. Tak qawiy langsung!"

Di hospital, banyak sesi muhasabah diri berlaku. Sentiasa berdoa agar Allah berikan kesembuhan segera buat diri saya. Saya tidak betah untuk tinggal di sini lama-lama. Masih banyak yang belum diselesaikan. Pelajaran juga sudah jauh ditinggalkan. Usrah dengan naqibah dan adik-adik usrah yang lain. Kuiz, test dan assignment sedang menanti. Saya rindu, malah sepanjang sakit yang dirasai. Saya rindu untuk berlari, berjalan laju dan berpeluh. Itu sahaja yang mampu membuatkan saya terasa kembali sihat. Sahabat-sahabat saya tidak henti memberikan kata-kata semangat dan mendoakan. Terima kasih sekali lagi. Semangat kalian menjadi sumber kekuatan saya.

Dengan hanya sebelah tangan, segala pekerjaan menjadi agak sukar. Makan, ke bilik air dan sebagainya. Rupanya, ini lah rasanya tidak dapat menggunakan sebelah tangan. Tambah bersyukur. Banyak nikmat yang selama ini kita tidak sedar Allah bagi pinjam sekejap. Tapi sikit sekali kita bersyukur. Saat nikmat ini ditarik sedikit demi sedikit, baru kembali sedar. Nikmat berjalan, nikmat tangan, nikmat melihat dan yang paling utama adalah nikmat dapat bersujud kepada-Nya. Itulah nikmat yang paling luar biasa dan jarang kita sedar betapa bernilainya nikmat bersujud kepada Allah swt. Ramai lagi mereka diluar sana yang tak dapat bersujud atas kecacatan pada anggota tubuh dan juga masalah kesihatan yang menimpa. Hmm.. Bersyukurlah. Allah tarik sekejap sahaja.

Alhamdulillah, malam itu, doktor mengizinkan saya untuk pulang ke rumah. Sedangkan makcik-makcik disitu semuanya masih lagi ditahan. Kasihan melihat mereka. Doa dititipkan. Saya mendapat cuti sakit selama 8 hari. Lamanya. Sebelum memasuki ke dalam perut kereta, mata saya kembali melihat bangunan hospital yang bakal ditinggalkan. Sayu. Ramai lagi manusia yang sedang diuji dengan pelbagai kesakitan. Malah lebih parah dari saya. Ya Allah, berikanlah kesembuhan kepada mereka semua. Aminn..

Sepanjang di rumah, ada sahabat yang datang menziarahi. Mereka adalah adik-adik usrah saya. Terharu. Terima kasih kalian. Meskipun deria rasa masih belum kembali pulih, kelas tetap dihadiri selepas 4 hari bercuti di rumah. Alhamdulillah, pada hari itu. Ada semangat baru yang hadir. Waktu yang berlalu digunakan sebaik mungkin. Tak ada masa lagi untuk menangguh kerja apatah lagi berlengah-lengah. Jadual saya menjadi semakin padat. Setiap masa dicuri untuk menduduki kuiz dan test yang telah terlepas. Cuti hampir dua minggu kan..

Hari-hari saya, menjadi lebih bermakna. Menjadi hamba Allah yang lebih menghargai nikmat sihat ini. Alhamdulillah.

Terima kasih kepada semua sahabat yang sentiasa ada di sisi, juga buat mak dan abah. Rasa diri tak layak untuk terima semua kebaikan yang diberi. Sedang diri ini, cuma sakit biasa-biasa sahaja. Tetapi mendapat layanan yang luar biasa. Sungguh saya benar-benar tak layak untuk menerimanya. Jzkk, may Allah reward better!

Tulisan ini diabadikan di sini, moga ia tidak luput dari ingatan yang seringkali terlupa.

Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu penyakit dan sejenisnya, melainkan Allah akan mengugurkan bersamanya dosa-dosanya seperti pohon yang mengugurkan daun-daunnya”. 
(HR. Bukhari dan Muslim)

Aminn, biidznillah.


Fatin Farhana
Ampang, Kuala Lumpur


No comments:

Post a Comment